Apa Itu Saham?

Saham adalah tuntutan pemilikan dalam perniagaan.

Jadi bila seseorang itu melabur saham dalam pasaran saham, dia sebenarnya membeli pemilikan dalam perniagaan. Bukan sekadar meneka turun naik harga dalam pasaran.

Begini.

Siti Nurhaliza (bukan nama sebenar) mahu menjual air soya tepi jalan. Siti mengeluarkan modal RM 500, kawan Siti, Khalid (bukan nama sebenar) juga beri modal RM 500. Jadi, Siti dan Khalid sama-sama memiliki pemilikan 50% dalam bisnes air soya tersebut.

Perniagaan air soya makin lama makin. Pada peringkat ini Siti mempunyai beberapa pilihan untuk mendapat modal tambahan untuk mengembangkan perniagaannya. Dan Siti memilih untuk menjual saham syarikat air soya yang selama ini hanya dimiliki oleh Siti dan Khalid.

Siti dan Khalid masing-masing memilih untuk menjual 50% dari saham-saham mereka untuk dijual kepada orang ramai. 100,000 unit saham baru akan diterbitkan dan dijual. Namanya saham terbitan awam atau initial public offering (IPO).

Selepas selepas proses IPO, maka pemilik saham syarikat berhad air soya tadi adalah Siti, Khalid dan beribu-ribu lagi pemegang saham yang lain.

Neelofa (bukan nama sebenar) adalah salah seorang pemilik saham yang baru itu tadi. Oleh kerana terlalu ramai yang mahu saham syarikat berhad air soya, harga sahamnya naik di Bursa Malaysia. Untunglah pelabur bernama Neelofa. Dia pun jual saham dia untuk dibeli oleh orang lain.

M. Nasir (bukan nama sebenar) juga adalah salah seorang pemilik saham. Walaupun harga saham telah naik, tapi dia tak mahu jual lagi. Rupa-rupanya dia menunggu dividen hasil dari keuntungan operasi syarikat. Malah, dia tambah lagi pegangan saham dia apabila ada orang lain mahu menjual sahamnya.

Siti selaku pemilik asal syarikat tersenyum lebar sebab dah dapat modal dari IPO. Orang ramai juga dapat menumpang keuntungan syarikat kita dengan membeli saham-saham syarikat. Maklumlah, bukan semua orang berbakat uruskan bisnes sendiri sampai boleh diapungkan ke Bursa Malaysia.

Sekiranya kita mahu terlibat dalam pelaburan saham, maka kita perlu membuka akaun CDS dan dagangan saham menerusi mana-mana syarikat broker yang belesen.

Pasaran saham pula ialah tempat orang jual beli saham syarikat-syarikat berhad yang diapungkan. Secara tepatnya disebut sebagai stock exchange, security exchange atau pun bourse.

Di Malaysia, stock exchange ini dulunya dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Dan zaman telah berubah. Bukan saham sahaja yang dijual beli di sini, ada lagi pelbagai sekuriti yang dijual beli. Dan sekarang dikenali sebagai Bursa Malaysia. 

Selain saham, Bursa Malaysia juga mempunyai produk-produk lain antaranya seperti:

  1. Futures & options
  2. Warrants
  3. Exchange traded fund (ETF)
  4. Real estate investment trust (REIT)
  5. Exchange traded bond & sukuk (ETBS)

Selain itu, dengan teknologi yang ada pada hari ini kita dah boleh melabur dalam pasaran saham luar negara dan mempunyai pilihan untuk melabur secara patuh Shariah.

Nota-nota lain berkaitan:


Baca Nota Pakdi menerusi emel: