Buat Duit Dengan Saham

Seandainya Siti beli 1,000 unit saham Ketupat Palas Berhad (KPB) pada harga 1.50 sesaham. Nilai pelaburan Siti ialah 1,500 ringgit.

Kepada newbie, minimum pembelian saham di Bursa Malaysia ialah 100 unit yang bersamaan 1 lot saham. Jadi, modal 150 ringgit pun sebenarnya dah boleh beli saham KPB.

Sekarang ini bagaimana Siti dapat buat duit dengan saham?

(1) Keuntungan modal melalui kenaikan harga saham. Juga dikenali sebagai capital gain. Contohnya pada 31 Disember, harga saham Ketupat Palas Berhad ditutup pada harga 1.80 sesaham. Ini bermaksud pelaburan Siti sudah bernilai 1,800 ringgit dan telah memperoleh ‘untung atas kertas’ sebanyak 300 ringgit.

Realitinya, 300 ringgit itu adalah untung yang belum masuk dalam poket dan cuma ‘untung kasar atas kertas’. Juga belum tolak komisyen broker dan kos-kos lain. Siti dapat tukar ‘untung atas kertas’ menjadi ‘untung masuk poket’ dengan menjual saham Ketupat Palas Berhad.

Atau Siti boleh ‘peram’. Tapi tak siapa tahu sama ada saham itu tadi akan terus naik jadi 1.90, 2.00 sesaham atau turun menjadi 1.70, 1.60 sesaham.

Bila harga boleh naik, maka harganya pun boleh turun. Jadi tak mustahil juga, Khalid beli saham Ketupat Palas Berhad pada harga 2.00 sesaham. Lepas tu harga turun jadi 1.80 sesaham. Dalam situasi ini Khalid rugi 20 sen sesaham. Jika Khalid beli 1,000 unit macam Siti, maka Khalid tengah rugi 200 ringgit.

Waktu ini, Khalid dapat pertimbangkan untuk cut loss, realisasikan rugi tersebut atau terus ‘peram’. Dan tetap tak ada siapa tahu sama ada saham itu tadi akan terus naik jadi 1.90, 2.00 sesaham atau turun menjadi 1.70, 1.60 sesaham.

(2) Keuntungan dividen pula ialah apabila syarikat Ketupat Palas Berhad ada beri sebahagian dari keuntungan operasi perniagaan. Bila syarikat umum dividen 5 sen sesaham, ini bermaksud untung dividen yang Siti dapat ialah 50 ringgit.

Keuntungan dividen ini ialah bersih sebab cukai dah siap-siap dibayar oleh syarikat. Jadi, sebagai pemegang saham tak kena cukai dah.

Pemberian dividen tak dibuat berdasarkan turun dan naik harga saham tetapi diberi berdasarkan operasi untung rugi bisnes syarikat Ketupat Palas Berhad.

Untung keseluruhan bila kita campur keuntungan modal dan dividen. Kebiasaannya untung yang lebih besar ialah datang dari keuntungan modal. Justeru, dapat untung 15% dari kenaikan harga saham ialah perkara yang ramai orang cari.

Pada masa yang sama, perlu tambah untung dari dividen. Dalam situasi biasa, kadar dividen (dividend yield) ialah sekitar 3-4% namun tidak mustahil, ada orang boleh dapat dividen 10% bergantung kepada bilakah seseorang itu membeli sesuatu saham.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: