Apakah strategi pelaburan ekuiti anda?

Pelaburan dalam ekuiti bermaksud membeli pemilikan dalam sesebuah syarikat. Sama ada membeli syarikat persendirian (private company) atau syarikat yang tersenarai di pasaran saham (public listed company). Nota ini merujuk kepada pelaburan ekuiti dalam public listed company (plc).

Ada hampir 1,000 sekuriti yang dijual beli di Bursa Malaysia. Untuk tahu nak beli pelaburan apa, maka pelabur perlu ada kemahiran membuat kajian. Kajian dapat dilakukan dengan (1) analisis fundamental, atau (2) analisis teknikal.

Kita perlu mempunyai komitmen dan kemahiran untuk membuat analisa saham. Jika tidak mampu, maka solusi yang ada bagi mengatasi perkara ini antaranya ialah melabur melalui unit trust. Supaya pelabur tidak perlu lagi pening kepala untuk membuat kajian saham sendiri dan menyerahkan tugas tersebut kepada pengurus dana berlesen.

Ironinya, ada lebih 700 unit trust yang berada dalam pasaran. Jadi, untuk menghilangkan pening kepala melabur saham sendiri, sekarang pelabur menghadapi situasi baru. Sekarang nak melabur dalam unit trust yang mana pula?

Maka pilih lah nak pening kepala yang mana, melabur saham atau melabur unit trust.

Inflasi adalah sebab utama kenapa kita perlu melabur.

Apabila kita berjaya lawan inflasi, maka dapatlah kita mengekalkan kuasa membeli. Bagi melakukannya kita perlu membuat satu portfolio pelaburan yang bersesuaian. Maka gunakanlah strategi yang betul.

(1) Portfolio pendapatan bertujuan untuk memperoleh pendapatan sama ada berbentuk dividen, kupon atau agihan pendapatan. Pelabur yang memilih strategi ini lazimnya ini sama ada sudah mencapai matlamat kewangannya atau belum bersedia menghadapi risiko pasaran.

(2) Portfolio pertumbuhan merupakan untuk pelabur sudah bersedia menghadapi risiko pasaran. Dari sini portfolio pertumbuhan dapat dipecahkan kepada sub-portfolio seperti:

(a) Portfolio medium to small cap yang fokus kepada syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana. Pelabur tidak mengharapkan sebarang dividen. Fokus untuk mendapat capital gain supaya modal berkembang berlipat ganda.

(b) Portfolio index pula menumpukan pelaburan untuk syarikat-syarikat yang menjadi pendasar untuk sesuatu indeks (index constituent). Contohnya membeli unit trust atau saham-saham berikut:

Cara yang paling efisyen adalah melabur saham menerusi exchange traded fund (ETF).

(c) Portfolio large cap membolehkan pelabur tidak hanya melabur dalam index constituent tetapi juga melabur dalam syarikat lain. Tetapi terhad kepada syarikat-syarikat bersaiz besar dan bukannya medium to small cap.

(d) Portfolio cyclical merujuk kepada portfolio yang melabur dalam syarikat atau sektor tertentu yang bermusim sifat keuntungannya. Lazimnya syarikat-syarikat ini melibatkan aktiviti perdagangan komoditi seperti besi, semikonduktor, automatif, pembinaan, penerbangan, perhotelan dan barang pengguna mewah.

(e) Portfolio sectoral yang mana hanya fokus melabur dalam sektor perniagaan tertentu sahaja. Kebelakangan ini banyak pelabur yang memfokuskan kepada sektor teknologi yang mana dibandingkan dengan sektor yang lain, sektor teknologi memberikan lebih untung.

(f) Portfolio momentum merupakan portfolio yang fokus kepada analisis teknikal semata-mata. Berbeza dengan pelabur pertumbuhan yang menjangkakan pertumbuhan keuntungan operasi sesebuah syarikat, pelabur momentum fokus melihat trend teknikal yang didasari oleh human behavior.

Senarai sub-portfolio ini tidak lah lengkap, sekadar ingin memberi gambaran sahaja.

(3) Portfolio campuran ialah gabungan antara portfolio (1) pendapatan dan (2) pertumbuhan.

Pelabur menentukan sendiri bilakah untuk lebih melabur dalam pelaburan berpendapatan tetap dan bilakah patut lebih melabur dalam portfolio pertumbuhan.

Dengan memahami strategi-strategi pelaburan yang ada, maka pelabur dapat memilih produk pelaburan yang bersesuaian dengan keperluan matlamat kewangan sendiri. Tidak lagi melabur secara herd investing atau pun berjudi dalam pasaran.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: