Simpan atau labur?

Simpan dan labur adalah dua perkara yang berbeza. Nampak macam sama tapi tak serupa. Dua-dua perlu kita buat. Bukan simpan sahaja tetapi tak melabur. Bukan melabur sahaja tapi tak ada simpanan. 

Kita simpan duit untuk gunakannya dalam masa terdekat. Tabung kecemasan (emergency fund). Short term. Maka selepas buat kira-kira berapa banyak yang perlu untuk simpanan sebegitu, maka apa yang lebih itu laburkanlah.

Inilah yang dimaksudkan melabur dengan duit lebih. Investable asset. Supaya dapat melabur dengan hati yang tenang. Jadi bila kita melabur sebab nak dapat duit lebih maka kita telah melabur dengan cara yang salah.

Kebiasaannya bank yang menawarkan produk simpanan. Duit dalam bank ini dapat dikeluarkan pada bila-bila masa. Boleh guna perbankan internet, cucuk kad ATM dan boleh swipe kad debit. 

Bagusnya menyimpan ni ialah duit kita selamat. 10 ribu yang kita simpan, maka duit itu gerenti ada 10 ribu juga. Tapi untuk jangka masa panjang dapat jadi rugi. Keuntungan yang diterima dari produk simpanan ni rendah. Malah ada yang lebih rendah dari inflasi. Sedangkan inflasi seronok menghabiskan kuasa membeli kita.

Inflasi ni habiskan kuasa membeli kita sikit-sikit, senyap-senyap. Kita tak terus rasa esok lusa. Macam orang suka kepada gula. Minum air banyak gula hari ni bukannya esok dapat kencing manis. Tapi tunggulah penyakit tu datang lepas beberapa tahun jika kita amalkan minuman terlebih gula tiap-tiap hari.

Manakala, kita labur duit sebab kita nak duit tu bekerja untuk kita. Long term. Bila duit bekerja untuk kita, dia bagi keuntungan dalam bentuk kupon, dividen atau keuntungan modal. Dari biar duit tu duduk tak buat apa, baiklah suruh dia buat kerja. Supaya satu hari nanti kita dah tak perlu bekerja lagi.

Untuk jangka masa pendek pelaburan ni “tak selamat”. Tak macam simpan duit dalam bank. Labur 10 ribu, pada hujung tahun mungkin tinggal 9 ribu.

Namun untuk jangka masa panjang, pelaburan adalah cara terbaik untuk lawan inflasi. Labur 10 ribu ada peluang modal kita berkembang jadi 20 ribu selepas 10 tahun.

Betul, pelaburan ada risiko rugi. Macam kita kena bersenam 15 minit sehari. Ada potensi dapat kecederaan. Tapi siapa suruh terus lari 2,3 kilometer terus. Buat senaman ringkas-ringkas sahaja dahulu. Badan dan biasa bergerak baru buat senaman yang lebih berat. 

Takkan sebab takut kaki melecet atau terseliuh maka kita pilih hanya untuk minum air terlebih gula setiap hari dan langsung tak mula nak bersenam? Tak perlu teka. Kita tahu gaya hidup yang bagaimana yang menghasilkan kesan kesihatan yang lebih baik selepas 10 tahun. Kita tahu, antara simpan duit dan labur duit, aktiviti apa yang dapat jadikan duit kita berganda.

Kebiasaannya syarikat pelaburan yang menawarkan produk pelaburan. Ada macam-macam nama. Ada pelbagai kelas aset. Tapi matlamatnya serupa. Supaya kita dapat menggandakan duit.

Ketika nota ini ditulis, ada dua isu yang hangat diceritakan. Satu, usia pencen 65 tahun.

Life expectancy rakyat Malaysia ialah 75 tahun. Jadi, dah kira belum cukup atau tidak duit simpanan untuk persaraan? Yang mengharapkan KWSP sahaja, dah lama KWSP beritahu yang majoriti pencarum ni akan habiskan semua simpanan mereka dalam masa 3-5 tahun pertama selepas pencen.

“Oh, takpe aku kerja kerajaan,”

Dua, cadangan untuk memberhentikan skim pencen. Ya, untuk penjawat awam yang baru dilantik. Bukan penjawat awam yang telah lama dilantik. 

Dua perkara ni banyak beri kesan kepada kita semua. Dan keduanya perkara yang kita tak dapat kawal. Fokuslah kepada perkara yang kita dapat kawal iaitu (1) berapa banyak nak simpan dan (2) berapa banyak nak labur.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: