Simpan atau labur?

Simpan dan labur adalah dua perkara yang berbeza. Nampak macam sama tapi tak serupa. Dua-dua perlu kita buat. Bukan simpan sahaja tetapi tak melabur. Bukan melabur sahaja tapi tak ada simpanan. 

Duit gaji yang diterima setiap bulan, banyak yang akan habis untuk dibelanjakan untuk keperluan asas seperti makan, minum, pakai, tempat tinggal, kesihatan dan pengangkutan.

Antara perkara yang dapat dibuat untuk urus duit gaji ialah dengan mengamalkan formula 50-30-20.

Simpan duit untuk kegunaan-kegunaan dalam tempoh masa 1 tahun.

Emergency fund. Simpan.
Duit belanja anak nak masuk sekolah. Simpan.
Nak kahwin lagi 6 bulan. Simpan.
Nak pergi bercuti tahun depan. Simpan.

Kebiasaannya kita simpan duit dalam bank sahaja. Selain dari bank, kita juga ada pilihan untuk memasukkan duit teresbut dalam money market fund. Ini adalah salah satu kategori unit trust yang ada.

Baca: Memulakan pelaburan unit trust secara online

Bagusnya menyimpan ni ialah duit kita selamat. 10 ribu yang kita simpan, maka duit itu gerenti ada 10 ribu juga. Tak ada volatility. Market risk sangat rendah. Sangat cair. Oleh itu sangat sesuai untuk keperluan jangka masa pendek.

Tetapi aktiviti menyimpan ini tidak sesuai untuk jangka masa panjang. Keuntungan yang diterima dari produk simpanan ni rendah. Malah ada yang lebih rendah dari inflasi. Inflasi menyebabkan kuasa membeli kita mengecil.

Inflasi ni habiskan kuasa membeli kita sikit-sikit, senyap-senyap. Kita tak terus rasa esok lusa. Macam orang suka kepada gula. Minum air banyak gula hari ni bukannya esok dapat kencing manis. Tapi tunggulah penyakit tu datang lepas beberapa tahun jika kita amalkan minuman terlebih gula tiap-tiap hari.

Labur duit untuk kegunaan jangka masa panjang. Long term. Supaya duit bekerja untuk kita dan akhirnya kita tak perlu bekerja lagi.

Keuntungan pelaburan dapat diperoleh dari (1) aliran tunai melalui kupon, dividen, agihan pendapatan dan hasil sewa, dan (2) keuntungan modal.

Berikut ialah perbezaan produk simpanan (garis biru) dan produk pelaburan (garis hijau):

Untuk jangka masa pendek pelaburan ni “tak selamat”. Tak macam simpan duit dalam bank. Labur 10 ribu, pada hujung tahun mungkin dapat jadi 9 ribu. Pelabur terdedah dengan risiko pasaran.

Namun untuk jangka masa panjang, pelaburan adalah cara terbaik untuk lawan inflasi. Labur 10 ribu ada peluang modal kita berkembang jadi 20 ribu.

Inilah yang membezakan antara aktiviti simpanan dan aktiviti pelaburan.

Sekiranya masih belum berani melabur, mulakan secara kecil-kecilan sahaja.

Jika belum biasa belari, jangan terus lari 2,3 kilometer. Tak biasa berbasikal, jangan terus nak kayuh 100 kilometer. Buat senaman ringkas-ringkas sahaja dahulu. Bila badan dan otot-oto kita dah biasa bergerak baru buat senaman yang lebih berat. 

Takkan sebab takut kaki melecet atau terseliuh maka kita pilih hanya untuk minum air terlebih gula setiap hari dan langsung tak mula nak bersenam? Tak perlu teka. Kita tahu gaya hidup yang bagaimana yang menghasilkan kesan kesihatan yang lebih baik selepas 10 tahun. Kita tahu, antara simpan duit dan labur duit, aktiviti apa yang dapat jadikan duit kita berganda.

Hari ini nak memulakan pelaburan pun dah mudah. Dapat dimulakan secara online dengan kos yang rendah.

Baca: Memulakan pelaburan sendiri

Apabila telah biasa melabur secara kecil-kecilan, maka bersedialah melabur dengan investable asset. Supaya kita dapat mencapai life goals yang dapat mengekalkan kualiti hidup kita pada masa hadapan.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: