Pelaburan dalam bon & sukuk

Bon dalam bahasa mudahnya ialah surat hutang. IOU (i owe you), iaitu dokumen yang mengesahkan wujudnya kewujudan hutang.

Contoh, John bagi hutang kepada Jason sebanyak 1 ribu ringgit yang akan dibayar semula selepas tempoh 2 tahun. Dengan tambahan pinjaman sebanyak 2% setahun. Macam orang yang meminjam dengan bank. Maka dokumentasi hutang itulah disebut sebagai bon. Pendek cerita itulah bon.

Sukuk pula secara ringkas pun adalah IOU. Cuma sukuk ini distrukturkan secara patuh Shariah. Ada banyak cara untuk menstrukturkan sukuk, sama ada menerusi murabahah, musyarakah, ijarah dan seterusnya.

Maka kalau disebut sukuk, maka ingat sahaja itu adalah bon patuh Shariah.

Bon & sukuk ini boleh dikeluarkan oleh kerajaan dan juga syarikat. Kita yang membelinya. Jadi dalam konteks ini kita sebagai pelabur yang menjadi “bank” kepada kerajaan dan syarikat. Maka apa untungnya bila kita menjadi “bank” dengan membeli bon & sukuk ini?

Bon & sukuk adalah merupakan aset dalam kategori fixed income. Ini kerana pengeluar bon & sukuk ini perlu membayar keuntungan yang telah dijanjikan kepada pembeli bon & sukuk (bondholder / sukukholder). Dan apabila sampai tarikh matang, jumlah modal pokok itu akan dikembalikan semula.

Dari perspektif pelabur atau pembeli bon & sukuk, ini merupakan satu pelaburan yang sering dianggap selamat kerana (1) duit pokok pelaburan akan diterima semula 100% berserta dengan (2) keuntungan yang telah ditetapkan.

Keuntungan yang diperoleh pemegang bon & sukuk ini disebut sebagai kupon.

Maka seandainya syarikat Air Soya Siti & DK mengeluarkan sukuk, sekiranya keuntungan sebelum faedah dan cukai (earnings before interest & tax) adalah 10 juta, maka pemegang sukuk menerima kupon terlebih dahulu sebelum pemegang saham memperoleh dividen. Malah, kalau untung cuma 1 juta sekali pun, pemegang sukuk tetap terima kupon dengan jumlah yang dipersetujui. Pemegang saham menerima bakinya.

Inilah kenapa sukuk disebut sebagai pelaburan berpendapatan tetap. Sama ada syarikat untung banyak atau sikit, kuponnya sama. Berbanding saham, dividen berubah-ubah mengikut keuntungan syarikat. Jika syarikat untung besar, maka dividen pun besar dan sebaliknya.

Di Malaysia, pelabur runcit masih belum membeli bon & sukuk secara terus dengan meluas. Antara yang dapat dibeli oleh pelabur runcit ialah (1) exchange traded bond & sukuk (ETBS) (2) bon & sukuk over the counter (OTC) yang ditawarkan seperti platform FSMOne, dan (3) tawaran sukuk runcit berkala seperti Sukuk Prihatin.

Pasaran bon & sukuk masih didominasi oleh pelabur institusi. Antara pelabur institusi yang membeli sukuk dengan banyak ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji (TH), syarikat-syarikat takaful, unit trust management companies dan seterusnya.

Pelabur runcit lebih efisyen membeli sukuk melalui unit trust. Carilah unit trust yang berada dalam kategori fixed income.

Walaupun begitu ini tidaklah bermaksud bon & sukuk tidak boleh rugi. Risiko masih wujud. Sekiranya pengeluar bon & sukuk mempunyai isu aliran tunai, maka kupon yang dijanjikan tidak dapat dibayar. Seperti sukuk yang dikeluarkan oleh Serba Dinamik Bhd dan MEX II Sdn Bhd.

Berbeza dengan saham, sukuk dinilai menerusi rating agency. Di Malaysia rating agency ini adalah seperti RAM Rating Services dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC). Rating agency di luar negara pula seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan juga Fitch.

Maka mana-mana bon & sukuk yang mendapat rating yang terbaik i.e AAA maka itulah yang dianggap bon & sukuk yang paling berisiko rendah. Dan seterusnya mempunyai coupon rate yang paling rendah berbanding bon & sukuk yang mendapat rating seterusnya i.e. AA, A, BBB. High risk, high return. Low risk, low return.

Jika saham ada Bursa Malaysia, maka untuk maklumat tentang bond & sukuk pula adalah menerusi BIX – Bond + Sukuk Information Exchange.


Seterusnya, baca:

Langgan Nota Pakdi menerusi emel:

Penulis: Saya adalah licensed financial planner. Stock advisor. Personal finance speaker. Klik sini untuk menghubungi saya