Nak Melabur Dengan Tenang, Buatlah Asset Allocation

Ramai pelabur terus nak melabur dan mengharapkan dapat untung berlipat kali ganda dalam masa yang singkat.

Lebih-lebih lagi bila ada kawan sudah kongsi tangkap layar untung pelaburan. Maka jadilah pelabur itu tadi FOMO – fear of missing out.

Sepatutnya tuan puan bermula dengan asset allocation. Secara mudah, asset allocation melibat 3 jenis aset berikut iaitu tunai, saham dan bond & sukuk.

Ini ialah 3 situasi yang dapat berlaku dengan asset allocation.

(1) Saham. Berpotensi dapat untung tinggi. Tapi tak ada jaminan untung. Serta tidak ada perlindungan modal.

Sangat sesuai jika ada duit lebih supaya tak ada keperluan menjual ketika market jatuh dan seterusnya membeli saham-saham yang undervalued.

(2) Bond & sukuk. Untung yang memuaskan. Secara umumnya, masih ada risiko rugi tetapi tidak seteruk macam kejatuhan pasaran saham.

Sesuai untuk individu yang perlu kepada pendapatan yang tetap dan lebih stabil setiap tahun.

(3) Tunai – Atas kertas tak boleh rugi. Namun untuk jangka masa panjang, nilainya susut disebabkan oleh inflasi.

Sangat berguna untuk berbelanja harian dan keperluan kecemasan.

Setiap aset ada fungsi tersendiri. Kalau semua modal buat all-in saham dan pada masa yang sama tak ada tabung kecemasan. Tiba-tiba sesuatu berlaku dan kena pakai duit. Maka kita kena jual saham-saham tersebut. Jika tengah untung, ok. Namun, jika tengah rugi maka sudah tentu jadi sakit hati.

Manakala, sekiranya banyak sangat pelaburan pendapatan tetap e.g. bond & sukuk, maka bila pula tabung persaraan nak penuh? Ini kerana keuntungan yang dapat diperoleh tidaklah setinggi saham.

Tindakan lain seperti meletakkan semua duit simpanan dalam dalam bank pula, nanti tau-tau aje rasa miskin. Sebab inflasi – harga barang naik.

Inilah manfaat asset allocation. Setiap satu jenis aset ada kegunaan tersendiri.

  • A% dalam saham
  • B% dalam fixed income e.g bond & sukuk.
  • C% dalam tunai

Dengan menetapkan asset allocation terlebih dahulu, ada sekurang-kurangnya dua manfaat yang pelabur boleh dapat:

1. Pelabur tak akan jatuh miskin dan papa kedana. Pelabur tidak boleh mengawal pergerakan harga aset. Jadi, semua pelaburan yang dibeli berpotensi untuk turun harga dengan banyak. Jika melabur secara all in, sekiranya bernasib baik dapat lah untung besar. Jika tidak bernasib baik, habis modal pelaburan. Dalam pelaburan kita mesti urus risiko rugi dahulu. Selepas itu baru kejar untung.

2. Tahu apa nak buat masa market jatuh. Masa berlaku kejatuhan harga yang banyak, maka asset allocation tadi akan berubah. Jadi sebagai pelabur kita patut memastikan portfolio pelaburan kita kembali kepada asset allocation yang asal.

Bagi yang melabur saham sendiri, harga lazimnya naik mengikut keuntungan operasi syarikat. Jadi, bila kita membeli sesuatu saham atas nilai-nilai fundamental seperti nilai earnings per share (EPS), net tangible asset (NTA), return on equity (ROE) dan seterusnya maka kita dapat menilai kembali adakah kejatuhan harga itu dipengaruhi oleh penyusutan nilai, atau sekadar sentimen pasaran.

Bagi yang melabur dalam unit trust, ETF – exchange traded fund, mandat persendirian, maka terus melabur secara konsisten mengikut jadual yang tetap. Dalam istilah teknikal disebut ringgit cost averaging.

Maka, tidak lah kita terpinga-pinga tidak tahu nak buat apa semasa pasaran / aset-aset pelaburan mengalami kejatuhan harga.

Hati pun menjadi lebih tenang semasa melabur.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: