Portfolio pelaburan jadi milik siapa selepas kita mati?

Harta suami, harta isteri.
Harta isteri, harta isteri.

Betul ke?

Suami bertanggungjawab bagi nafkah, bagi tempat tinggal, makan minum dan pakai kepada isteri. Namun, itu tidak lah menjadikan semua harta suami secara automatik menjadi harta isteri. Lebih-lebih lagi apabila sudah meninggal dunia.

Bagi seorang Muslim, apabila dia meninggal dunia maka ada 5 pihak yang wajib menerima hartanya iaitu:

Waris pertama ialah ibu si mati.
Waris kedua ialah bapa si mati.
Waris ketiga ialah pasangan si mati. Suami / isteri dan isteri-isteri.
Waris keempat ialah anak perempuan.
Waris kelima ialah anak lelaki.

Kelima-lima waris ini mempunyai hak dan bahagian yang telah ditetapkan. Mereka tidak dihalang oleh sesiapa pun.

Dan sekiranya si mati mempunyai anak lelaki, atau jika tidak mempunyai anak lelaki; bapa masih hidup, maka harta itu tidak pergi kepada waris-waris yang lain. Akan berlegar di kalangan 5 pihak ini sahaja.

Perkara ini berlaku kerana kedua-dua waris, iaitu anak lelaki dan bapa ialah penghabis harta. Disebut juga sebagai asabah. Fungsi asabah ini ialah menyekat waris yang lain dari mewarisi harta si mati.

Berapa yang waris-waris ini dapat? Maka bergantung kepada sama ada si mati dalam keadaan sudah mempunyai anak atau pun belum.

Ini contoh kiraan sekiranya si mati sudah mempunyai anak:

Ibu: 1/6
Ayah: 1/6
Suami: 1/4
Isteri: 1/8
Anak perempuan: Bakinya, satu bahagian
Anak lelaki: Bakinya, dua bahagian

Kiraan faraid ini berbeza-beza mengikut individu.

Jika si si mati tidak ada anak lelaki, bapa atau tidak ada anak langsung. Pada keadaan ini barulah waris-waris lain seperti datuk, adik-beradik mempunyai hak ke atas harta si mati. Walau macam mana kompleks kiraannya sekalipun, harta tersebut pasti tidak ada baki kerana adanya konsep asabah.

Nota ini tidak lah bertujuan untuk bercerita tentang faraid secara terperinci. Cuma hendak berkongsi, apabila seseorang itu meninggal dunia, suami atau isteri tidak menjadi mewarisi harta 100% secara automatik jika tidak ada apa-apa dokumen estate planning.

Justeru, apabila seseorang itu membuat pelaburan, maka struktur faraid ini perlu lah diketahui terlebih dahulu. Supaya dapat melabur melalui dokumen pelaburan yang betul sebagai usaha untuk mengelak berlaku perebutan selepas kematian.

Antara dokumen estate planning yang dapat digunakan untuk merancang pembahagian harta semasa hidup ialah:

  • Wasiat: Bagi muslim, tujuan utama wasiat ialah melantik wasi iaitu individu / pemegang amanah yang boleh menguruskan semua harta dan hutang selepas mati.
  • Hibah mutlak: Pemberian yang berlaku serta merta
  • Hibah amanah: Pemberi menjadi pemegang amanah selepas pemberian dibuat
  • Surat ikatan amanah (trust deed): Pelantikan pemegang amanah, senarai penerima manfaat dan syarat-syaratnya.
  • Penamaan: Menamakan mana-mana individu yang bertindak selaku wasi/pentadbir yang berkeupayaan untuk menguruskan pengeluaran dan pembahagian harta tertentu
  • Dokumen harta sepencarian: Pengisytiharan harta yang berhak diterima oleh suami / isteri sepanjang tempoh perkahwinan.

Dokumen yang paling utama ialah wasiat yang dalamnya mempunyai klausa pelantikan wasi.

Mempunyai dokumen pengurusan harta pusaka sebegini bukan bermaksud kita tidak suka faraid. Ini kerana faraid itu hanyalah cara bahagi harta selepas mati dan bukannya cara pengurusan. Faraid itu sendiri tidak boleh pergi ke pejabat pusaka atau mahkamah tetapi kena ada individu yang diberi kuasa pentadbir untuk menguruskannya.

Selagi masih hidup, kita digalakkan untuk meninggalkan pesanan dalam wasiat dan dibenarkan untuk membuat pembahagian yang tersendiri. Jadi nak buat dokumen yang mana?

  • Apakah struktur faraid kita?
  • Apa yang kita nak buat portfolio pelaburan tu lepas kita mati?

Barulah dapat tahu dokumen apa yang diperlukan untuk menguruskan legasi pelaburan.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: