Riba itu Dosa Yang ‘Cantik’

Berikut adalah reviu buku Rancang Wang Dari Sekarang oleh Puan Rihan Hashim.

Terima kasih ya!

Blog Puan Rihan adalah RihanHashim.net

“Riba itu haram. Memakan babi juga haram. Masyarakat kita begitu tegas dalam soal makan-minum yang melibatkan babi. Anehnya, mereka tidak setegas itu dalam hal-hal yang melibatkan riba.”

Kata-kata ini diluahkan oleh Pakdi, perunding kewangan Islam dan penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang. Saya kemudiannya berkongsi kata-kata itu ketika berbual-bual dengan Puan Ainon Mohd, pengerusi kumpulan penerbitan buku PTS.

Balas Puan Ainon, “Ada dosa yang buruk dan ada dosa yang cantik. Riba itu dosa yang cantik. Bank-bank konvensional duduknya dalam bangunan yang kukuh. Pekerjanya juga profesional, berpakaian kemas.”

Apabila saya kongsikan kata-kata Pakdi itu dengan rakan-rakan lain, reaksi diterima hampir serupa. Pada mulanya mereka seperti terkejut. Kemudian mereka menggeleng-geleng kepala, lalu berkata, “Parah. Hasil riba jangan dibuat main-main. Jangan diberi makan pakai kepada anak bini. Payah nanti jadi darah daging, hidup tidak berkat.”

Betapa benar, dalam surah al-Baqarah ayat 276, tuhan telah bersumpah, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.”

Ibnu Majah dan Ahmad juga merekodkan Nabi Muhammad sudah berpesan, “Walaupun hasil daripada riba itu banyak, tetapi akhirnya ia akan mengecil (habis).”

Al-kisah, tidak berapa lama dahulu tergerak di hati ini belajar cara-cara mengurus kewangan. Kata seorang kawan, “Tiga perkara tidak diajarkan di sekolah ialah skil menjadi ibubapa, skil memandu di jalan raya, dan skil mengurus kewangan peribadi. Padahal ketiga-tiga skil itu kau gunakan hampir seumur hidup selepas habis sekolah.

Walaupun kau belajar perakaunan, yang diajar ialah cara mengurus wang orang lain, wang syarikat. Sekolah tidak ajar kau cara disiplin mengurus wang sendiri, atau cara-cara betul melabur. Selepas kau kerja, ada gaji bulan-bulan, siapa yang menasihatkan kau bagaimana mengurus duit? Perunding-perunding bank itulah…”

Lalu pada suatu hari saya pun masuk ke kedai buku, duduk di depan rak buku-buku mengurus kewangan peribadi dan menekuni satu persatu buku yang ada. Pilihan saya adalah buku oleh penulis tempatan, lebih-lebih lagi penulis beragama Islam. Pertama, saya kira penulis tempatan menulis mengikut situasi dan institusi kewangan tempatan, berbanding penulis-penulis barat. Jika penulis itu orang Islam, saya lebih yakin mahu percaya.

Dalam banyak-banyak buku, ada satu buku yang menarik minat. Buku Rancang Wang Dari Sekarang tulisan Pakdi. Bukunya cuma 176 mukasurat namun kandungannya padat, dan isinya relevan dengan isu-isu kewangan dihadapi ramai orang. Setiap bab diulas bersahaja, ringkas, mudah difahami. Antara bab-bab dalam buku itu ialah:

  • Islam dan Harta
  • Muamalat 101
  • Apa Impian Hidup Kita
  • Berapa Banyak yang diperlukan
  • Apa yang Mesti Kita Buat Selepas Dapat Gaji?
  • Pendapatan vs Perbelanjaan
  • Apa yang Kita Perlu Tahu Sebelum Beli Kereta?
  • Abang, Bila Mahu Masuk Meminang?
  • Sewa atau Beli Rumah
  • Hutang oh Hutang Oh, Semuanya Mudah dengan Kad Plastik
  • Jangan Jadi Penjamin
  • Apa Yang Kita Mesti Tahu Mengenai Takaful?
  • Jadi Tangan Yang Memberi
  • Apa yang Kita Perlu Tahu Mengenai Pelaburan dan lain-lain…

Membaca buku ini memberi saya satu pengalaman baru. Pertama, isinya banyak menyentuh tentang hukum – apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan syariah dalam urusan mengurus wang. Membacanya memberi saya jaminan, bahawa ilmu yang disampaikan itu sudah jelas halal haramnya. Bak pesan ibu, guru-guru dan rakan-rakan, “Soal makan-minum, soal riba jangan dibuat main-main.”

Kedua, membaca buku ini saya rasa seperti dibawa naik rollercoaster. Mula-mula saya didedahkan perkara-perkara asas, kemudian melihat pandangan jauh, isu-isu sebenar, fakta, serta langkah-langkah yang perlu. Namun akhir sekali saya dibawa mendarat semula ke alam nyata, dengan rasa selamat. Bab terakhir buku ini memberi harapan, sesiapa sahaja boleh mula merancang dan mengurus wang. Memang itulah yang diperlukan oleh pembaca yang masih belajar di peringkat asas. Ia memberi saya gambaran besar, namun akhirnya ia tidak meninggalkan saya terawang-awang di atas awan, panik serta keliru tidak pasti hendak buat apa, atau mahu bermula dimana. Susunan bab-bab dalam buku ini baik sekali.

Berharga cuma  RM17.50 (atau lebih rendah di bookcafe.com.my), saya membuat kesimpulan: buku ini adalah buku asas yang wajib dibaca oleh pelajar sekolah, pelajar universiti atau sesiapa sahaja yang belum tahu asas mengurus wang. Tidak keterlaluan jika saya katakan, buku ini wajib ada dalam setiap rumah dan dibaca seisi keluarga. Bapa-bapa tidak akan rugi mendedahkan anak-anak dengan pengetahuan dalam buku ini. Ia boleh mendidik seisi keluarga berjimat-jimat, dan melihat wang sebagai suatu instrumen penting bagi jangka masa panjang.

Buku ini juga baik bagi dilaburkan sebagai sedekah kepada ahli keluarga, adik-adik, atau sesiapa sahaja yang baru bekerja, sebagai panduan untuk mereka merancang dan mengurus gaji. Ia satu usaha memupuk muda-mudi kita berpandangan jauh sejak awal, serta mengelak terbelit hutang di kemudian hari.

Harta yang berkat adalah harta yang sentiasa diguna orang. Ia tidak semestinya mahal. Ilmu yang dibukukan, dihadiahkan dan diamalkan pembaca lalu memberi manfaat berpanjangan kepada pelakunya juga mengalirkan kebaikan kepada tangan yang memberi.

Buku RWDS sekarang cuma diterbitkan dalam bentuk EBOOK sahaja. Jika tuan mahu memilikinya, sila klik link di bawah untuk membuat pembelian menerusi Google Play:

Ebook Rancang Wang Dari Sekarang


Baca Nota Pakdi menerusi emel:

10 thoughts on “Riba itu Dosa Yang ‘Cantik’

  1. Betul tu. Bila baca buku RWDS ni rasa macam minda terbuka dan puas. Ramai kawan yang pinjam dan baca buku ni, rata-rata mengatakan banyak yang tak tahu tentang pengurusan kewangan, dapat gaji akhir bulan, bayar itu ini gaji tinggal seciput jer…ada yang mengatakan sebab terlibat dengan ribalah kita rasa macam tak berkecukupan…yang penting bila dapat duit simpan dan sedekah…gaji berkat. 🙂

  2. ” Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barangsiapa menjaga dirinya dari barang-barang (perkara) yang samar itu, maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, dan barangsiapa yang jatuh dalam melakukan perkara yang samar-samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara haram seperti pengembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat-laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan ALLAH adalah apa-apa yang diharamkanNya.
    Ingatlah bahawa dalam jasad itu ada sekerat daging, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya, dan jika ia rusak, rusaklah jasad seluruhnya. Ingatlah, itu adalah hati.” [Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim] “Berhati-hatilah dengan DOSA yang cantik (riba)”

  3. Ini adalah antara buku terawal yg saya baca selepas hampir 2 tahun bekerja. Alhamdulillah, ia memberi asas yg kuat kpd saya utk melayari kehidupan berkeluarga sekurang-kurangnya tanpa ‘bad debt’ dan mempunyai simpanan yg menenangkan. Saya bersyukur dipertemukan dgn buku ini, 6 tahun lepas, yg menjadi undang-undang asas kewangan saya dan akan terus amalkan utk tahun-tahun mendatang.
    Sgt disyorkan utk penuntut universiti tahun akhir utk membacanya sebelum mendapat gaji pertama anda!

Comments are closed.