Seringgit yang ada dalam poket kita pada hari ini tidak sama nilainya dengan seringgit yang bakal diterima pada masa depan. Hal ini berlaku disebabkan seringgit yang ada pada masa depan ada kemungkinan tidak mempunyai kuasa membeli yang sama dengan seringgit yang ada pada hari ini.
Dalam filem Bujang Lapok, Sudin nak berkahwin. Hantarannya 1 ribu ringgit serba satu. Mak Sudin terima. Kemudian Sudin kata nilai hantaran itu tinggi, mana nak cari duit? Filem ini pada tahun 1957. Maksudnya, walaupun nilai hantaran 1 ribu ringgit itu sudah tinggi sampai Mak Sudin kata nak meminjam untuk kahwinkan anak tapi masih cukup untuk buat duit hantaran. Tahun ini, berapa kos hantaran perkahwinan?
Jadi dalam erti kata lain, pada tahun 1957 duit 1 ribu ringgit nilainya boleh buat hantaran kahwin. Pada masa sekarang simpanan 1 ribu ringgit sudah tidak cukup untuk buat hantaran. Itulah yang dikatakan duit yang sudah ada di tangan itu lebih baik dari duit yang hanya kita terima pada masa depan.
Melabur pula merupakan tindakan kita menangguhkan perbelanjaan hari ini supaya dapat berbelanja lebih pada masa hadapan – lepas cukai dibayar.
Pelaburan mempunyai risiko. Risiko terbesar ialah kemungkinan kita hilang kuasa membeli. Malangnya kehilangan kuasa membeli ini sering diabaikan kerana kita lebih cenderung menyamakan turun naik harga sesuatu aset (volatility) dengan risiko.
Harga sesuatu aset boleh turun dan naik dengan banyak. Lazimnya disebut sebagai risiko pasaran (market risk). Walaupun begitu, kita patut fokus lebih kepada persoalan sejauh mana aset itu tadi dapat membantu kita menambah kuasa membeli sepanjang kita memiliki aset tersebut.
Produk pelaburan ada banyak. Walaupun begitu, menurut Warren Buffet kategori aset secara umumnya ada tiga sahaja.
(1) Currency-based investment. Pelaburan dalam kategori ini ialah seperti akaun fixed deposit, money market fund serta bond & sukuk. Produk seperti ini sangat rapat kaitannya dengan kadar faedah sesebuah negara.
Lazimnya currency based investment ini dianggap selamat dan berisiko rendah kerana tidak mempunyai volatility. Kita dengan yakin dapat mengatakan duit pokok pelaburan tidak akan hilang. Hakikatnya, pelaburan seperti ini sukar untuk mengekalkan kuasa membeli kita.
Pada tahun 2020 kita perlu berbelanja lebih 3 ringgit berbanding 1 ringgit untuk perbelanjaan yang sama pada 1980. Dalam erti kata lain, institusi kewangan yang menawarkan pelaburan jenis ini perlu mendapat 2.82% setahun hanya untuk melawan inflasi.
Sekiranya kadar faedah adalah tinggi, maka pelaburan dalam produk sebegini adalah no brainer. Namun, dalam suasana kadar faedah yang rendah, maka terus kekal dalamnya bukanlah satu tindakan yang tepat. Walaupun begitu, untuk tujuan perbelanjaan jangka pendek dan tabung kecemasan, inilah pelaburan yang terbaik.
(2) Aset tidak produktif. Harta yang tidak memberikan apa-apa aliran tunai (cashflow). Aset jenis ini perlu dijual pada harga yang lebih tinggi untuk membuat keuntungan. Beli pada harga seringgit, tidak ada masalah, kita jual pada harga 2 ringgit. Beli pada harga 2 ringgit, tak ada masalah, kita jual pada harga 4 ringgit dan seterusnya.
Emas ialah antara aset dalam kategori ini. Dan sudah tentu sekarang, matawang kripto. Selagi mana ada orang mahu membeli emas dan mata wang kripto, maka mereka yang membeli emas pada harga rendah dapat berharap untuk menjualnya pada harga yang tinggi. Mereka yang telah membeli pada harga yang tinggi, berharap dapat menjual pada harga yang lagi tinggi.
Pada Januari 2021, market capitalization Bitcoin bernilai lebih dari 600 billion USD. Sebagai perspektif, pada Januari 2021, Visa merupakan syarikat yang mempunyai market capitalization lebih dari 450 billion USD. Dan mempunyai sales hampir 22 bilion USD dan keuntungan 10 bilion USD. Dan harga Bitcoin terus naik sehingga mencapai market capitalization lebih dari 1 trillion pada Mac 2021 walaupun tidak mempunyai aliran tunai.
Emas lazimnya disebut safe heaven investment apabila berlaku economic uncertainty. Annualized return 1980-2020 ialah 2.77%.
Mata wang kripto, disebabkan secara relatifnya masih baru, maka sukar untuk dijangkakan apa pandangan umum terhadap aset digital seperti ini.
(3) Aset produktif seperti pelaburan dalam perniagaan, hartanah, perladangan dan penternakan. Aset produktif yang ideal ialah aset yang dapat mengekalkan kuasa membeli. Dan bukan semua aset produktif boleh melawan inflasi dengan baik.
Bursa saham adalah tempat yang mudah untuk mempunyai pemilikan dalam perniagaan. Hari ini bukan semua orang mempunyai tanah yang besar untuk berladang atau membela lembu dan kambing jika dibandingkan zaman datuk nenek kita dahulu.
Annualized return Kuala Lumpur Composite Indeks (KLCI) 1980-2020 ialah sebanyak 3.80% dan pada masa yang sama syarikat-syarikat indeks ini telah mengagihkan banyak dividen kepada para pemegang saham mereka.
Malah hari ini juga mudah untuk melabur di pasaran luar negara khususnya Amerika Syarikat. Justeru kita dapat ambil kesempatan memiliki ekuiti dalam perniagaan yang lebih besar. Teknologi telah memudahkan perkara ini.
Annualized return Dow Jones Industrial Average (DJIA) dalam tempoh yang sama ialah 9.03% sebelum mengambil kira faktor dividen yang telah dibayar.
Dan ini adalah lebih tinggi dari kadar inflasi yang dicatatkan dalam tempoh yang sama iaitu 2.82%. Apabila kita mampu mendapat keuntungan yang lebih tinggi dari inflasi, maka kuasa membeli pasti kekal.