Kenapa Labur Saham?

Saya ni tak berapa pandai berniaga. Boleh la nak bagi anak sendiri makan. Tapi berniaga sampai anak orang lain pun dapat makan tiap bulan tu bukan bakat saya. Walaupun begitu saya faham berniaga adalah jalan terbaik nak jadi kaya. Jadi macam mana nak buat?

Maka saya pilih jalan untuk beli saham syarikat mereka yang ada bakat berniaga. Jenis yang berniaga sampai syarikat disenaraikan di bursa saham i.e. Bursa Malaysia. Kita ambil contoh Syarikat A Berhad.

Syarikat A, tahun ni untung 100 juta. Dan 60 juta dari 100 juta tu dipulangkan semula kepada para pemegang saham dalam bentuk dividen. Oleh kerana saham syarikat A dijual di Bursa Malaysia jadi semua orang di Malaysia (yang duduk luar Malaysia pun) dapat ambil peluang untuk rasa sebahagian dari dividen 60 juta ringgit tadi.

60 juta ringgit tu semua ada orang yang punya. Sebab setiap saham yang diterbitkan ada pemiliknya. Kalau kita tak ada saham syarikat A, maka dividen tu Ahmad Albab yang punya. Nak merasa, beli lah saham A. As simple as that.

Baki 40 juta itu pula syarikat “simpan”. Ada pelbagai tujuan. Tujuan yang paling baik ialah 40 juta tadi digunakan untuk kembangkan bisnes syarikat supaya tahun-tahun depan dapat untung makin banyak.

Lepas kira berapa banyak saham yang diterbitkan, dapatlah kita tahu dividen sesaham. Iaitu sebanyak 6 sen sesaham. Kita ada 10,000 unit saham. Dapat lah 600 ringgit.

10 tahun berlalu, keuntungan syarikat meningkat jadi 300 juta. Sepanjang tempoh ni, polisi pembayaran dividen kekal 60 peratus. Dan dividen yang dibayar pada tahun ke-10 ialah sebanyak 180 juta.

Kita tak pernah jual saham syarikat A. Maka dividen terkumpul yang kita terima ialah lebih kurang 10 ribu ringgit. Kalau modal beli saham tu ialah 20 ribu ringgit, kita dah dapat pulangan 50% hanya dari untung dividen.

Semua tu kita dapat dengan hanya “goyang kaki”. Sebab kita tak perlu pun fikir pasal menguruskan bisnes syarikat A. Itu tugas CEO dan pengurusan syarikat. Mereka dibayar gaji untuk itu. Kita adalah pemilik syarikat yang layak menerima dividen.

“Tapi Pakdi, ini macam beli syarikat Sdn Bhd je. Saham kat Bursa Malaysia tu kan ada turun naik harga.”

Betul. 

Sebab ada syarikat-syarikat yang jual sahamnya di bursa saham lah menyebabkan kita dapat merasa kekayaan yang dihasilkan oleh mereka yang ada bakat berniaga. Sebab tu namanya public listed company. Shared prosperity.

Kalau syarikat A tu syarikat sendirian berhad itu namanya pelaburan ekuiti persendirian. Private equity. Bila ekuiti persendirian, pemilik asal syarikat tak kuasa nak cari pelabur runcit yang sekadar labur beberapa ribu ni. Mereka akan cari pelabur yang sekali labur 500 ribu. 5 juta. 50 juta. Ekau ado beratus ribu duit lebih kat bank nak melabur dalam ekuiti persendirian?

Lepas tu, bila kita ada duit berjuta-juta nak labur dalam ekuiti persendirian pun, wujud masalah seterusnya. Kalau dah sampai masa nak pakai duit tu semula, macam mana? Siapa nak beli? Kita bukan founder syarikat yang bercita-cita hidup dan mati dengan syarikat tu.

Nak minta founder syarikat tu duit tunai berjuta? Belum tentu dia dapat pulangkan sebab modal yang kita bagi tu dah pun bertukar jadi bangunan, kilang dan juga barang mentah. Takkan syarikat kena jual harta-harta syarikat semata-mata nak bayar modal kita balik? Tak efisien langsung.

Nak cari orang lain yang nak beli saham kita tu bukan senang. Mungkin kita kenal beberapa orang yang ada duit berjuta juga dalam bank, tapi mereka mungkin tak suka bisnes syarikat tu. Tak serasi dengan CEO syarikat tu. Atau, mereka nak pakai duit lagi 12 bulan. Tak ke pening nak laksanakan exit strategy.

Dan yang paling penting, bila keluarkan modal contohnya 3 juta, bila syarikat makin maju, takkan nak jual saham kita balik pada harga 3 juta aje? Mesti kita nak jual saham tu pada harga yang lebih tinggi. Kena pula cari pelabur yang setuju dengan penilaian kita.

Maka melalui pasaran saham, kita dapat jual saham kita pada bila-bila masa. Tak perlu kisah pun siapa yang jadi pembelinya. Syarikat tak perlu jual pun bangunan dia semata-mata kita nak modal kita balik. Tak perlu tanya pemegang saham lain dan juga CEO syarikat. 

Kita cuma perlu beri arahan jual saham-saham yang dimiliki pada harga pasaran. Dan yang seronoknya tak perlu ada duit tunai yang banyak pun untuk bermula. 1 ribu, 2 ribu ringgit, malah tak sampai 500 ringgit pun dah dapat mula beli saham. Jadi bila ada lebih banyak ribu, dapatlah beli beberapa syarikat sekaligus. Spread the risk. Dan bukannya tertumpu kepada satu syarikat sahaja.

Sama macam pelaburan lain, pasaran saham ni tak perfect. Iyalah, kalau senang semua orang dah kaya dengan saham. Tabung Haji takde isu rosot nilai. 

Sebab harga saham ni, bila harga tak naik, jatuh. Bila harga tak jatuh, naik. Dan boleh juga harga saham ni langsung tak bergerak. Namanya volatility. Pergerakannya macam roller coaster untuk jangka masa pendek. 

Bila kita tengok saham ni sekadar pergerakan memang pening. Sebab hari-hari harga saham ni bergerak. Saya memang tak pandai nak teka harga saham nak naik ke turun esok. Saya beli saham dengan cara lain.

Tapi bila kita tengok saham tu macam beli bisnes, maka hati kita dapat jadi lebih tenang. Ini kerana nilai syarikat tak berubah setiap hari. Yang berubah hari-hari tu harga (price) saham dan bukannya nilai (value) syarikat.

Maka melaburlah dalam syarikat yang operasinya bisnesnya dapat buat duit dulu, kini dan selamanya. Dan jangan beli saham pagi ni esok dah mahu dapat untung tetapi melaburlah untuk jangka masa panjang i.e. 10 tahun. Ini cara saya melabur.

Bila dividen aje dah untung 50%, agak-agak berapa pula untung capital gain pula ya? =)


Baca Nota Pakdi menerusi emel: