Dua perempuan yang bijaksana

Ketika Nabi Musa a.s. sampai di sebuah telaga di negeri Madyan, baginda melihat sekumpulan pengembala dan haiwan ternakan mereka sedang mengerumuni tempat tersebut. Dan di belakang pula ada dua orang perempuan yang sedang menunggu giliran untuk mengambil air.

Melihatkan situasi itu Nabi Musa a.s. pun bertanya kepada mereka berdua. Setelah mengetahui kesukaran dua orang perempuan tadi untuk mendapatkan bekalan air, Nabi Musa a.s. membantu mereka berdua.

Apabila sampai di rumah, mereka berceritakan kisah tersebut kepada bapa mereka iaitu Nabi Syuaib a.s. Mendengarkan cerita anak-anaknya lantas baginda pun meminta supaya Nabi Musa a.s. dijemput datang ke rumah.

Bila Nabi Musa a.s. telah sampai ke rumah, maka salah seorang dari mereka pun berkata kepada bapa mereka supaya mengupah Nabi Musa a.s. kerana baginda mempunyai ciri-ciri qawiy dan amin.

Qawiy maksudnya kuat. Sebab Nabi Musa a.s. mampu menutup telaga tadi dengan sebuah batu yang sangat besar, yang dikatakan hanya mampu diangkat oleh 10 orang lelaki biasa. Dalam konteks hari ini, qawiy ialah kompetensi. Amin pula bermaksud dapat dipercayai. Sama seperti gelaran Nabi Muhammad s.a.w.

Kita perlu faham beza antara; untung (profit) vs sah (legitimate). Masih ramai dari kalangan masyarakat kita yang cuma kejar untung. Namun tidak mengendahkan sama ada pelaburan tersebut adalah pelaburan berlesen dan bagi pelabur Muslim, patuh Shariah. Asalkan buat untung, hentam sajalah.

Tidak boleh begitu. Kita perlu cari pelaburan yang sah dan berlesen dahulu. Ini kerana setiap pelaburan berlesen ada ciri-ciri perlindungan terhadap pelabur yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Supaya duit kita selamat dari kena tipu dan jika apa-apa terjadi, pihak berkuasa dapat bertindak.

Syarikat pelaburan perlu berlesen. Orang seperti saya perlu berlesen. Ini adalah perkara yang paling asas yang perlu kita tahu sebab nak dapat lesen ini perlu melepasi minimum competency yang ditetapkan. Bukan semua orang boleh dapat lesen dalam bidang kewangan ni. Tak mudah.

Bila sakit, kita nak jumpa doktor sebenar atau bomoh?

Begitu juga dalam pelaburan. Carilah individu yang berlesen. Melaburlah menerusi syarikat yang berlesen. 

Walaupun begitu kena faham, doktor bukan tuhan. Bukan semua pembedahan berjaya. Masih ada penyakit belum ditemui penawarnya. Pelaburan juga begitu. Pelaburan berlesen tidak menjanjikan keuntungan. Dapat ‘untung yang dijanjikan’ belum tentu itu adalah pelaburan berlesen.

Semak lesen saya di sini. Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia adalah pihak berkuasa yang mengawal selia urusan pelaburan di negara kita.

Saya nak kongsikan kali ini satu cara mudah untuk menyemak sama ada sesuatu entiti yang menawarkan pelaburan itu berlesen atau tidak. Khusus untuk semak syarikat menguruskan pelaburan tersebut itu tadi.

Cara pertama, dapat muat turun aplikasi InvestSmart ke dalam telefon bimbit pintar masing-masing. Cari menu Public Register of License Holders.

Cara kedua adalah menerusi pautan laman web di bawah:

Public Register of License Holders

Saya suka nak kongsikan cara nak semak nama syarikat sahaja dalam ruang yang terhad ini. 

Ada 3 pilihan. Representative. Companies. Individuals. Buat pilihan Companies. Kemudian, tulis nama syarikat dalam ruangan Companies Name dan tekan ‘enter’.

Syarikat pelaburan yang berlesen pasti keluar dalam carian tersebut. Jangan sesekali melabur dalam syarikat yang namanya tidak keluar dalam carian tadi. Walaupun dijanjikan dengan keuntungan yang kebiasaannya lebih dari untung yang dapat diberikan oleh Tabung Haji atau ASB.

Anak-anak perempuan Nabi Syuaib a.s. bukan wanita yang biasa-biasa. Semasa di telaga mereka nampak kekuatan Nabi Musa a.s. Dalam perjalanan balik ke rumah, mereka dapat lihat sifat al-amin Nabi Musa pula. Mereka adalah 2 wanita yang berfikir.

Mereka tak menjadikan hasil iaitu bekas-bekas air yang penuh, haiwan ternakan yang sudah kenyang sebagai asas untuk mengupah Nabi Musa bekerja dengan mereka. Tak macam saudara-saudara Yusuf yang menjadikan hasil yang diperoleh sebagai asas nak kembali semula berdagang di negara Mesir semasa musim kemarau.

Ramai dari kita hari ini mengikut perangai saudara-saudara Yusuf. Tidak berfikir panjang dan terkejar-kejar harapan hasil yang dijanjikan. Tetapi tidak mahu mengambil masa untuk faham proses untuk menghasilkan sesuatu. Sedangkan semua pelaburan ada risiko. 

Bila individu berlesen tak dapat menjanjikan apa-apa keuntungan, ramai yang pergi mencari individu dan syarikat yang tidak berlesen yang menjanjikan keuntungan bulan dan bintang. Akhirnya, semua duit lebur ditipu, hilang 100 peratus.

Jadilah bijak seperti anak-anak perempuan Nabi Syuaib a.s!


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: