Dari mana nak ke mana?

Tak ada orang bangun-bangun tidur terus kata – hari ini saya nak merancang kewangan! Ho ho ho. Tapi apa yang selalu kita buat ialah memikirkan tentang nak beli rumah, beli kereta, langsaikan hutang, hantar anak masuk universiti, bercuti, bersara dengan duit yang cukup di tangan dan seterusnya.

Sekiranya duit kita memang sumbernya tak pernah habis, mungkin tiada masalah nak buat berbelanja macam mana pun. Nampak kereta cantik, beli. Berkenan dengan rumah tu, beli. Rasa nak hantar anak masuk Oxford, hantar je lah. Esok rasa nak pergi Paris, cari tiket dan bercuti. Namun 99.99% tidak berkemampuan sebegitu.

Disebabkan sumber kita terhad tetapi keinginan kita banyak, maka itu lah yang menjadikan kita perlu membuat perancangan kewangan tertentu supaya dapat susun mengikut keutamaan.

Mula-mula sekali yang paling asas ialah pasal cashflow. Sumber duit setiap bulan dari mana dan ke mana kita membelanjakannya. Kita mesti tahu berapa perbelanjaan yang paling asas yang diperlukan tiap bulan untuk hidup. Supaya ada lebihan duit sebagai modal nak capai keinginan kita.

Namun kita tak mampu beli semuanya dengan tunai, maka kita pun berhutang. Tak salah berhutang, cuma berhutanglah ikut kemampuan dan susun keutamaan berhutang. Kemudian, pening kepala. Hik hik hik.

Bank bijak. Dia bagi kita beli rumah dengan cara hutang 30 tahun. Dan bank siap-siap suruh kita beli takaful rumah. Sebab apa? Kata orang bijak pandai, dua benda sahaja yang pasti dalam dunia ni. Pertama, mati. Kedua, cukai.  

Jadi, bila kita mati nanti pun sebab ada takaful maka hutang bank pun dapat dibayar. Kita tak tertahan dari masuk syurga sebab hutang, bank pun suka. Win-win.

Dan bagi majoriti dari kita yang makan gaji, tidak memerlukan pun khidmat konsultan cukai untuk membuat perancangan cukai. 

Ada diantara keinginan kita itu tadi yang bersifat jangka masa pendek. Contoh, nak pergi bercuti hujung tahun. Yang bersifat sederhana, nak cukupkan duit buat deposit rumah. Dan untuk jangka masa panjang, bersara dengan duit yang cukup di tangan.

Dari situlah datang keperluan pengurusan aset. Selalu orang sebut melabur. Ada kenderaan yang laju, ada kenderaan yang perlahan. Ada jalan yang selamat, ada jalan yang lebih berisiko. Ada yang prefer do-it yourself, ada yang perlu kepada bantuan professional. Semuanya dibuat selepas ada lebihan harta. Investable asset.

Bagi orang Islam pula, lebihan harta yang kita ada itulah yang kita taksir untuk dizakatkan. Zakat secara prinsipnya berbeza dengan cukai. Tapi hari ini kita dah tak nampak bezanya. Sebab kita bayar zakat nak dapat resit untuk potongan cukai, dan bukan lagi disebabkan kita ada lebihan harta. Hik hik hik.

Bagi sebahagian dari kita alhamdulillah. Diberikan rezeki yang cukup dan luas. Orang lain sibuk nak beli rumah sebelum 30 tahun, dia sibuk cukupkan duit supaya dapat pergi haji masa masih muda sebegitu. It is about choice.

Kereta dah ada, rumah dah ada, haji dah pergi, cukai bayar, zakat bayar, tiap tahun ada duit pergi bercuti, anak-anak dapat biasiswa masuk universiti. Apa lagi? Nikmat Allah yang mana engkau dustakan? Disitulah timbul keperluan untuk membuat estate planning yang komprehensif.

Kebanyakan orang sebenarnya memadai dengan menyediakan wasiat. Bagi sebahagian yang lain pula, barangkali perlu lebih dari itu. Semuanya bergantung kepada profil faraid dan hasrat yang kita ada. Mungkinkah kita berhasrat membuat wakaf yang menjadi amal jariah yang berterusan untuk kita yang ada dalam kubur nanti. Mahu meninggalkan waris dalam keadaan kaya dan berharta pun merupakan satu tuntutan agama.

Jadi sekarang, anda dari mana nak ke mana?


Baca Nota Pakdi menerusi emel: