4 Perkara Yang Anda Perlu Ambil Tahu Tentang Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

“Buat loan Bank Islam.”

“Pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat.”

“Pinjaman perumahan dengan Maybank Islamic.”

Antara punca kekeliruan terhadap perbankan Islam adalah apabila “meminjam” dengan Islamic bank, pada akhirnya “kesan hutang” sama je dengan bank-bank konvensional. Nampak tiada beza pada pandangan kasar.

Namun wujud perbezaan yang tuan puan wajib tahu. Dalam Islamic bank, hutang itu terhasil dari jual beli. Dalam conventional bank, hutang itu terhasil dari pinjaman.

1. Perbankan Islam tidak memberi pinjam. Pinjaman ini ialah loan, atau qard. Islamic bank memberikan pembiayaan berasaskan kaedah jual beli (bay’) yang menghasilkan hutang. Hutang ini ialah debt, atau dayn.

Contohnya, Ahmad menjual komputer dengan harga 6 ribu ringgit kepada Ali dan bayaran dibuat secara ansuran dalam tempoh 3 tahun.

Ini namanya jual beli berhutang atau dalam istilah lain jual beli tangguh. Dari transaksi jual beli ini wujudnya kesan hutang. Tetapi Ali tidak meminjam dari Ahmad.

2. Manakala bank konvensional pula memberi pinjaman dan mengambil untung atas pinjaman. Ini jelas adalah kaedah riba jahiliyyah. Seperti yang difahami dan disebut dalam al-Quran.

Contohnya, Sam nak beli komputer dan Dol meminjamkan duit kepada Sam sebanyak 5 ribu dengan untung riba 5% selama 3 tahun.

Maka transaksi di atas ini adalah riba. Wujud kesan hutang. Tetapi hutang itu terhasil dari aktiviti pinjam meminjam.

3. Ya, kaedah jual beli bertangguh mahupun pinjaman menghasilkan hutang. Mempunyai kesan yang sama. Namun cara bank-bank Islam ialah melakukan jual beli yang menghasilkan hutang. Patuh Shariah selagi mana mematuhi rukun dan syarat jual beli.

Jadi perbankan Islam dibenarkan ambil untung dengan cara jual beli bertangguh yang menghasilkan hutang ini. Nak untung sikit boleh, nak untung banyak pun boleh, atau tak mahu ambil untung langsung pun dibenarkan.

Manakala cara bank-bank konvensional memberikan pinjaman yang menghasilkan hutang. Bila berlaku pinjaman berasaskan riba makan hukumnya adalah haram. Untung 1 sen pun tak dibenarkan, untung 1 bilion pun tak boleh.

4. Nampak macam sama tetapi kontraknya berbeza. Satu menggunakan kontrak jual beli, satu lagi menggunakan kontrak pinjaman. Macam babak makan mi kari Ah Hock dalam telefilem Mamat Khalid 16 Puasa. Geng tak puasa tu terus je makan sebab mi kari Ah Hock tu nampak macam sama dengan dengan mi kari kedai Melayu.

Justeru, kita tidak boleh sekali menyamakan riba dan jual beli atau menyamakan bank konvensional dan bank Islam kerana telah wujud larangan yang keras dari Allah swt mengenai perbuatan yang menyamakan riba dan jual beli:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka berkata, “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba.”

Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.

al-Baqarah, 275.

Baca Nota Pakdi menerusi emel:

2 thoughts on “4 Perkara Yang Anda Perlu Ambil Tahu Tentang Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

Comments are closed.