Amalkan 5 Perkara Ini Dalam Urus Kewangan Kita

Pada suatu hari Raja Mesir berkata:

“Sesungguhnya aku mimpi melihat ada tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi.”

Ketua-ketua kaum itu pun menjawab:

“Itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang boleh mentafsirkan mimpi.”

Ketika itu rakan banduan Nabi Yusuf pun teringat kisah yang lampau iaitu orang yang terselamat dari hukuman, lalu dia pun berkata:

“Aku akan memberi tahu kepada kalian tafsirannya. Aku akan kembali ke penjara untuk berjumpa seorang yang pandai mentafsirkan mimpi.”

Selepas dapat berjumpa dengan Nabi Yusuf, lelaki itu pun berkata:

“Wahai Yusuf orang yang berkata benar, tafsirkan kepada kami tentang seorang yang bermimpi tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering. Tafsirkan mimpi tersebut supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

Yusuf menjawab:

“Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).”

Kisah Mimpi Raja Mesir

Ini merupakan kisah benar yang direkodkan dalam al-Quran dalam Surah Yusuf, ayat 43 – 49. Allah swt telah mengajar kita melalui kisah Nabi Yusuf a.s. yang mana ilmu dari langit ini dapat memberi penyelesaian kepada masalah ekonomi negara Mesir yang dijangkakan bakal berlaku.

Saya kongsikan 5 pengajaran dari kisah ini. Mudah-mudahan kita dapat mengambil panduan.

#1 Sediakan Payung Sebelum Hujan

Hidup ini ibarat roda. Kejap di atas, kejap di bawah.

Dalam kisah ini, Raja Mesir mendapat mimpi yang memberikan petunjuk selepas 7 tahun zaman ekonomi yang bagus, akan datang 7 tahun zaman ekonomi yang teruk. Maka Raja Mesir mesti bersedia menguruskan harta kekayaan negara dari sekarang walaupun masih dalam keadaan senang. Jangan tunggu hujan baru nak sediakan payung.

Dalam erti kata lain:

  • Simpan dulu sebelum berbelanja
  • Ambil takaful sebelum sakit
  • Melabur sebelum usia persaraan
  • Simpan resit sebelum diaudit LHDN
  • Tahu waris sebelum mati

#2 Fokus Kepada Apa Yang Kita Dapat Kawal

Cuaca. Hasil tanaman.

Ada banyak perkara di luar kawalan kita. Namun masih ada perkara yang ada dalam kawalan kita. Nabi Yusuf a.s tidak mengambil khidmat bomoh hujan supaya kemarau tak jadi tetapi bersedialah menghadapi musim kemarau dengan menanam bersungguh-sungguh dan simpan sebanyak mungkin hasilnya.

Dalam erti kata lain:

  • Kita tak dapat kawal kadar faedah semalaman Bank Negara tapi kita dapat kawal berapa banyak nak simpan sebulan.
  • Tak ada siapa tahu bila nak sakit tetapi kita dapat buat bajet berapa ringgit takaful nak ambil.
  • Kita tahu berapa kadar inflasi tahun ni tapi kita tentukan berapa jumlah pelaburan sebulan
  • Bukan bawah kuasa kita nak pergi haji juga tahun depan tapi kita dapat cukupkan duit dalam Tabung Haji dari sekarang.
  • Kita tak tahu sama ada bank nak luluskan pembiayaan rumah kita tapi kita dapat kawal jumlah hutang yang kita buat.

#3 Simpan Dulu Baru Belanja

Pay yourself first. Dengan menabung.

7 tahun pertama menanamlah bersungguh-sungguh. Apa yang kita dapat setiap bulan simpan banyak-banyak selebihnya barulah belanja makan, minum dan lain-lain. Bukan belanja dulu, kalau ada lebih baru nak simpan.

Dalam erti kata lain:

  • Buat potongan gaji secara tetap setiap bulan untuk dimasukkan ke ASB, Tabung Haji atau produk kewangan lain.
  • Lepas dapat gaji pertama, buat tabung kecemasan dulu baru fikir nak beli kereta.
  • Lepas dah cukup tabung kecemasan, simpan duit dalam Tabung Haji dan pergi daftar haji lepas tu baru fikir nak beli kereta.
  • Setiap kali dapat Si Hijau (RM 5) terus simpan.
  • Jangan kumpul hutang kad kredit. Kalau swipe terus bayar.

#4 Berapa Lama Dapat Bertahan Kalau Berhenti Kerja?

Kerja sungguh-sungguh 7 tahun. Simpan banyak-banyak. Untuk hidup pada 7 tahun zaman kemarau.

Berapa besar kekayaan yang kita ada sekarang? Sekiranya kita cuma mampu bertahan 5 bulan, maka itulah nilai kekayaan kita. Kekayaan negara Mesir yang diuruskan oleh Nabi Yusuf bernilai 7 tahun perbelanjaan.

Dalam erti kata lain:

  • Mulakan dengan menyimpan serendah RM 50 sebulan.
  • Kemudian sasarkan simpanan yang cukup untuk sebulan belanja.
  • Kemudian besarkan simpanan sehingga cukup 7 bulan belanja.
  • Seterusnya invest in yourself. Melabur untuk ilmu.
  • Gunakan kuasa kompaun untuk capai simpanan yang cukup 7 tahun belanja.

#5 Bertanya Kepada Ahli Ilmu Sekiranya Tak Tahu

Ketua-ketua kaum kata mimpi tadi cuma mainan tidur. Tetapi Nabi Yusuf  yang berada dalam penjara berkata sebaliknya.

Raja Mesir merupakan pemimpin yang bijaksana. Mula-mula Raja Mesir mendapatkan pandangan barisan pemimpin negara Mesir. Usaha tersebut gagal mendapat jawapan.

Raja Mesir terus mencari jawapan walaupun di kalangan rakyat biasa. Sifat ini bagus kerana merendah diri. Sudi mendengar pandangan lain dari orang yang lebih rendah darjatnya pada mata kasar manusia (ketika itu, Nabi Yusuf adalah banduan).

Dapatkanlah pandangan dari mereka yang pakar. Dalam erti kata lain:

  • Financial Adviser Representative (FAR) dapat beri nasihat kewangan tentang perlindungan takaful.
  • Licensed Financial Planner dapat beri nasihat kewangan tentang portfolio pelaburan.
  • Estate planner antara mereka yang mahir tentang wasiat, hibah dan surat ikatan amanah (trust).
  • Tax consultant adalah mereka yang pakar tentang hal ehwal cukai.
  • Akauntan adalah mereka yang dapat bantu urusan rekod duit keluar masuk bisnes.
  • Penasihat Shariah dalam hal ehwal halal haram kewangan Islam.

Baca Nota Pakdi menerusi emel: