Sebagai Muslim, sudah menjadi kewajipan kita untuk mencari yang halal dan menjauhkan apa yang diharamkan. Berikut ialah 7 cara urus wang secara patuh Shariah.
(1) Jadi pelanggan perbankan Islam. Tutup semua akaun perbankan konvensional. Hijrah. Dari urusan masuk duit gaji tiap-tiap bulan, perpindahan duit, dan pinjam meminjam. Di Malaysia, kita sudah ada banyak pilihan perbankan Islam.
Begitu juga apabila kita berurusan dengan koperasi yang ada menawarkan skim pinjam dan hutang tertentu.
(2) Tidak membeli insurans. Dapatkan produk takaful. Takaful adalah insurans yang Shariah compliant. Pelbagai produk takaful sudah ada di pasaran sama ada untuk perlindungan motorsikal, kereta, keluarga, kad kesihatan dan seterusnya. Langgan produk yang ditawarkan oleh syarikat takaful selagi dapat.
(3) Melabur dalam pelaburan Shariah. Secara mudahnya, melaburlah dalam pelaburan yang mempunyai kelulusan penasihat Shariah.
Baca: Melaburlah dalam pelaburan patuh Shariah
(4) Berhati-hati dalam ‘pelaburan emas & perak’. Syarat jual beli emas dan perak adalah lebih ketat kerana keduanya adalah barang ribawi. Maka transaksi perlu dibuat secara tunai. Jika berlaku secara bertangguh atau hutang, maka sudah jadi riba dalam jual beli.
(5) Tidak terlibat dalam pelaburan forex yang ditawarkan di internet. Perkara ini tidak merujuk kepada tukar duit di money changer. Ini adalah tentang forex trading yang hari ini banyak ditawarkan secara online.
Baca: Hukum pelaburan forex
(6) Berhati-hati dengan skim easy payment. Iaitu pembelian barang secara ansuran. Yang selalu ditawarkan hari ini. Berhati-hati.
7. Tidak terlibat dengan pinjaman ceti & ah long. Noktah.
.
Tidak terhad kepada 7 perkara ini sahaja.
Saya tidak dapat menyenaraikan semua. Saya hanya senaraikan perkara utama sahaja.