Urus pelaburan

Saham ni mudah aje. Hari Isnin nanti, kalau tak naik, jatuh. Kalau tak jatuh, naik. Itu je. Apa yang kita nak pening-pening sangat? Kih kih kih.

Ramai orang fokus kepada saham apa nak beli. Ya, ilmu nak pilih saham yang betul tu penting. Tapi pelaburan saham bukan sekadar nak beli saham apa. 

Berdasarkan kelas saham yang muncul bak cendawan yang tumbuh selepas hujan sekarang, saya fikir siapa yang rajin pergi kelas tu sudah tentu dah jadi kaya raya dengan saham. Tapi kenapa masih ramai tak buat untung? Sebab banyak kelas hanya mengajar cara jual beli saham dan tidak mengajar tentang cara-cara menguruskan portfolio pelaburan.

Urus pelaburan membabitkan perkara-perkara ini:

(1) Menetapkan objektif portfolio dan risiko yang sanggup diambil. Ini akan menentukan strategi yang dapat digunakan dan juga jenis aset dan saham yang bersesuaian dengan objektif tersebut.

(2) Membuat analisa cashflow. Melabur dengan duit lebih dan bukannya melabur sebab nak dapat duit lebih.

(3) Menetapkan asset allocation. Saham jenis macam mana kita nak letak dalam portfolio tu?

(4) Membuat watchlist. Kita tak mampu nak menilai semua saham yang ada. Jadi kita buat senarai pendek.

(5) Membuat kajian saham. Boleh guna analisis fundamental. Ramai yang guna analisis teknikal.

(6) Membuat pembelian. Bukan semua saham dalam watchlist itu kita beli. Kita mempunyai modal yang terhad.

(7) Monitor portfolio pelaburan. Dunia pelaburan ni boleh berubah-ubah. Ada saham dulu dah merupakan investors’ darling, sekarang dah tak jadi. (Serba Dinamik, tuan puan?)

(8) Membuat rebalancing. Selepas setahun contohnya, ada saham yang dah naik. Ada saham yang dah turun. Dan mungkin ada saham yang masih belum dibeli kelihatan lebih menarik dari saham yang sedia ada. Jadi, kita kena buat keputusan tertentu.

Inilah lah proses yang diperlu dilalui oleh seorang pelabur. Pelaburan ini satu proses. Bukan sekadar touch and go.

Dari sini tuan puan dapat tahu yang menguruskan pelaburan saham ini bukan sekadar tahu cara membuat kajian saham. Membuat kajian itu salah satu sahaja kemahiran yang diperlukan.

Selepas dah buat kajian, kena tahu cara urus portfolio pelaburan saham. Ada sains dan seninya. Pengurusan portfolio. Bukan dah tahu saham apa nak beli, terus bedal aje. Kena tahu la bila masa nak panaskan minyak, letak perencah, santan, ayam, garam, gula semua tu. Bukan semua terus campak sekaligus dalam kuali.

Saham ni memang ada turun naiknya. Masa jatuh menakutkan. Masa naik pun terasa gayatnya. Maka proses seperti ini juga dapat membantu pelabur urus emosi supaya dapat buat keputusan yang rasional. Bila pelabur tak dapat berfikir dengan rasional, banyak keputusan bodoh yang dibuat.

Yang paling penting, portoflio pelaburan itu tadi bantu kita sampai ke destinasi yang nak dituju.

Jadi kena kena urus portfolio pelaburan kita macam seorang pekebun buah supaya ada hasil yang berterusan. Bukan sekali tanam, dapat merasa buah sekali dua dan kebun itu terbiar begitu sahaja.

Belajarlah urus portfolio pelaburan secara bersistematik. Supaya kebun tu terus menghasilkan lebih banyak buah dan menghasilkan pendapatan yang sustainable untuk kita.


Suzardi Maulan, IFP

Pakdi.net merupakan blog peribadi saya tentang topik kewangan dalam Bahasa Melayu. Saya membantu individu melabur dan menguruskan pelaburan mereka. Selanjutnya baca di sini

Belajar saham melalui video dan podcast - Klik sini