Nabi Muhammad (berselawatlah kita) berpesan:
Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.
Hadis direkodkan oleh Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah
1. Hadis ini menunjukkan kepada kita apakah yang dimaksudkan dengan bertawakkal kepada Allah swt.
2. Tawakkal itu bukanlah dengan duduk diam-diam dan menunggu rezeki turun dari langit.
3. Tetapi hendaklah kita “terbang” keluar mencari rezeki pada waktu pagi, dalam keadaan masih belum mempunyai apa-apa pun pada hari itu. Malah, tidak tahu pun apa yang akan terjadi semasa “terbang” ke sana dan “terbang” ke sini.
4. Namun dengan rasa bertawakkal yang penuh kepada Allah swt atas usaha “terbang” itu tadi, maka apabila kembali ke sarang pada waktu petang, Allah pasti telah mengurniakan sesuatu.
5. Tawakkal memerlukan keimanan yang tinggi kepada Allah swt. Sesungguhnya Dia adalah yang Maha pemberi rezeki.
6. Mudah-mudahan hadis ini memberikan kekuatan kepada kita untuk membuat keputusan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti:
- Membuat keputusan untuk sambung belajar dalam keadaan tidak tahu apakah akhirnya lulus atau gagal.
- Membuat projek baru dalam keadaan tidak pasti dapat berjaya atau tidak.
- Membuat bisnes dalam keadaan tidak tahu boleh dapat untung atau tidak.
- Menyediakan barang gerai jualan dalam keadaan tidak tahu hari itu hujan lebat atau tidak.
- Dan pelbagai lagi.
7. Ketika itu keimanan kita pasti teruji lebih-lebih lagi apabila sudah masuk waktu tengah hari tetapi perut masih belum terisi dengan makanan.