Melabur perlukan modal. Modal kecil buat cara modal kecil. Jangan melabur ikut cara budak besar yang ada modal yang lebih besar. Sesuaikan cara melabur kita dengan modal yang kita ada.
Jadi saya kongsikan idea-idea kat mana boleh dapat modal.
1. Bonus
Sebahagian digunakan untuk berbelanja dan sebahagiannya digunakan untuk melabur.
Jika tak tahu berapa nak pecahkan, buat aje 50:50. Separuh dilaburkan, separuh lagi dibelanjakan.
2. Harta pusaka
Rezeki yang datang bergolek.
Sekiranya seseorang itu menerima harta pusaka dalam keadaan tidak bersedia selalunya duit yang diterima dari harta pusaka tersebut akan habis dengan begitu cepat. Semuanya dibelanjakan.
Tetapi sekiranya seseorang itu telah bersedia dengan ilmu pelaburan, sudah tentu banyak bahagian harta pusaka yang diterima itu dapat dilaburkan.
3. Agihan pendapatan, hibah dari ASB dan Tabung Haji
Ada lagi rakyat Malaysia yang sudah dewasa masih tak tahu pasal ASB, ASB2 dan Tabung Haji ni?
Keistimewaan untuk Bumiputera / Islam. Harga adalah tetap dan tak berubah-ubah. Senang cerita modal tu tak hilang. Bukan tak boleh rugi, boleh. Cuma kerajaan yang jamin. Rasa beruntung ke tidak?
Setiap tahun produk-produk ini ada memberikan agihan pendapatan atau hibah kepada para penyimpan. Setakat ini tidak pernah tak bagi. Cuma dah ada rekod pernah bagi hibah tak banyak. Sementara belum pandai labur sendiri ni, letak sahaja lah dulu duit tu di situ.
Maka apa yang kita terima itu dapat dijadikan modal nak melabur sendiri.
4. Bisnes part-time
Banyak dah orang buat dua kerja sekarang. Siang masuk pejabat, balik kerja. Freelance. Sekarang dah macam-macam. Boleh buat dari rumah. Atau nak bergerak-gerak.
Barangkali dapat jadikan sebahagian untung bisnes part-time itu sebagai modal melabur.
5. Duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Tiap-tiap bulan pekerja di Malaysia buat potongan gaji. Malah majikan pun turut menyumbang caruman KWSP.
Kemudiannya duit tersebut dipecahkan kepada akaun 1 dan akaun 2. Setiap akaun ini ada kegunaan yang dapat dimanfaatkan. Macam akaun 2 KWSP dapat digunakan untuk tujuan pengeluaran membina / membeli rumah.
Akaun 1 juga dapat dimanfaatkan untuk buat pengeluaran skim pelaburan ahli.
Yang mana skim pelaburan ahli ini sekarang dah boleh buat online. Dapat guna untuk melabur antaranya masuk unit trust. Atau melabur terus dalam Bursa Malaysia secara mandat persendirian (yang ni masih belum online).
6. Duit yang suami / mak / ayah bagi
Rezeki masing-masing.
Tiba-tiba suami bagi duit tunai. Tak pasal-pasal mak ayah hadiah sejumlah duit yang banyak.
Ini bukan pusaka. Sebab harta pusaka itu harta orang yang dah mati. Harta yang orang bagi masa dia masih hidup kita panggil hibah.
7. Refinance rumah
Jika ada aset, boleh buat pembiayaan semula.
Supaya boleh dapat tunai. Jadi, tunai yang diterima itu dapat jadi modal pelaburan. Cara ni agak advance dan mempunyai risiko tersendiri. Iyalah, rumah tu elok-elok dah habis bayar hutang atau hutang dah tinggal sikit, kita buat hutang semula. Jangan buat kalau tak tahu risikonya.
8. Tabungan khas untuk melabur
Dapat gaji, simpan dulu. Selebihnya baru dibuat makan.
Setiap bulan. Buat potongan gaji. Tetapkan satu jumlah khas untuk pelaburan. Namakan ia sebagai tabung persaraan atau tabung mini-retirement atau tabung pendidikan anak. Apa-apa nama pun boleh. Asalkan tabung tadi adalah sesuatu yang bersifat jangka masa panjang.
Contohnya, setiap bulan dapat simpan sehingga RM 2 ribu. Selepas setahun sudah ada RM 24 ribu. Maka, gunakan 50% dari jumlah simpanan tersebut untuk memulakan pelaburan yang pertama. Jadi, kalau rugi semua modal pelaburan tersebut sekalipun kita masih tidak jatuh miskin.
Buat tabungan ikut kemampuan. Jika belum mampu simpan sampai 4 angka sebulan, 50 ringgit pun takde masalah. Janji simpan!