Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.
Ini nasihat Nabi Ya’kub kepada anak-anaknya yang nak masuk ke Mesir. Dirakamkan dalam Surah Yusuf, ayat 67.
Pada waktu ni Nabi Yusuf sudah pun jadi Menteri Kewangan Mesir. Abang-abang Nabi Yusuf nak datang dari Palestin kali kedua untuk berdagang makanan pada musim kemarau dengan kerajaan Nabi Yusuf.
Islam ni sempurna. Cerita pasal macam mana nak urus bahaya pun ada. Sebab tu kena pakai tali pinggang keleder sebelum memandu. Cegah sebelum kena. Dalam pelaburan, caranya dengan spread the risk. Bila satu pintu ditutup, ada pintu lain yang dibuka. Yang dapat masuk, jalan terus.
Perkara yang sama diamalkan oleh Warren Buffett. Dalam rancangan Squawk Box pada Februari 2017 pakcik Buffett ni beritahu:
You want to spread the risk as far as the specific companies you’re in by owning a diversified group.
Saya selalu dapat soalan – apakah pelaburan terbaik?
Terus ternampak ada udang galah di sebalik mi goreng. Maksud sebenar soalan ni adalah – Pakdi, bagitahu je lah pelaburan yang paling untung! Saya nak goyang kaki. (Kot ye pun bayar lah yuran profesional dulu he! he!)
Nabi Ya’kub yang juga seorang rasul, yang ada anak, juga seorang rasul pun tak tahu masa depan. Pintu masuk negara Mesir mana yang paling selamat? Dan dengan ilmu yang ada, Nabi Ya’kub berpesan – masuk dari beberapa pintu!
Itu nabi. Orang yang istimewa di sisi Allah. Malaikat dapat jumpa bawa wahyu. Pun tak boleh predict the future. Inikan Pakdi.
Memandangkan pelaburan adalah perkara masa depan, perkara terbaik yang kita dapat buat ialah susun duit kita nak letak kat mana. Dan bukannya habiskan duit, masa dan tenaga, sibuk cari pelaburan yang bakal bagi untung paling tinggi.
Spread the risk. Tabung Haji dah rugi. KWSP dan ASB dah sampai tahap too big too fail. Untung tak naik banyak tapi jumlah deposit dan pendeposit baru makin banyak. Jadi kek tu bukannya makin besar tapi kena kongsi dengan lebih ramai orang adalah.
Susun duit kita. Ada sebahagiannya diletakkan di tempat yang low risk. Sebahagian yang lain letak di tempat yang high risk.
Tempat yang low risk ni pula ada beberapa pilihan. Money market fund ada, fixed deposit ada. Exchange traded bond & sukuk ada. Dan lain-lain.
Pelaburan yang high risk pun ada banyak. Saham contoh pelaburan yang high risk. Tapi bila kita ikut nasihat Nabi Ya’kub maka dapat jadi begini.
Dari 10 saham yang kita beli, mungkin 3 tu rugi. 5 untung biasa-biasa. Tapi sebab kita spread the risk enough, pasti dapat 1,2 saham yang harganya naik 4,5 kali ganda dari modal.
Masalahnya ramai cuma nak teknik melabur yang modal dapat naik 4,5 kali ganda. Maksudnya, modal 100 ribu, strateginya cuma nak letak semuanya dalam 1 tempat je. Warren Buffett muda pun tak berani labur 1 tempat aje. Sebab dia spread the risk, maka dia pun jadi kaya.
Bila kita masuk dari beberapa pintu, maka 100 ribu tadi kita susun dengan letak 10 ribu dalam money market, 20 ribu dalam sukuk, 15 ribu dalam Real Estate Investment Trust dan seterusnya.
Memang pasti ada yang rugi. Dan pada masa yang sama pasti ada yang untung. Dan juga ada yang dapat untung berlipat kali ganda yang dapat menghilangkan kesan rugi tu tadi. Sebab labur 10 ribu, paling teruk pun rugi 10 ribu. Tapi bila untung besar, dapat jadi 20, 30 atau 50 ribu. Ha gitu.
Tiap bulan pun kita susun duit gaji kita nak pergi mana. Bil elektrik. Bil air. Hutang rumah. Hutang kereta. Duit belanja dapur. Terjaga aliran tunai buat macam tu.
Begitulah juga dengan lebihan duit kita tadi. Rancang pelaburan dari sekarang.