Perancangan untuk menunaikan haji perlu dibuat bagi setiap muslim. Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam dengan syarat berkemampuan.
Antara perkara yang jatuh dalam ‘mampu’ ialah, mampu dari sudut kewangan. Maka berusahalah untuk mampu, mudah-mudahan kita dapat menjadi tetamu Allah. Secara umumnya persediaan kewangan untuk menunaikan Haji adalah seperti berikut:
- Ada harta untuk pergi ke tanah suci
- Ada harta sepanjang berada di tanah suci.
- Ada harta untuk tanggungan yang ditinggalkan di tanah air.
Langkah untuk merancang pergi haji ialah:
(1) Membuka akaun Tabung Haji.
(2) Mencukupkan simpanan sebanyak RM 1,300 untuk tujuan pendaftaran haji.
(3) Sentiasa merujuk kepada informasi dari Tabung Haji, berapa jumlah minimum yang diperlukan dalam akaun Tabung Haji. Setakat nota ini ditulis, jumlahnya ialah RM 9,980. Dan angka ini pasti akan berubah pada masa hadapan.
(4) Menyediakan duit perbelanjaan untuk pergi haji seperti berikut:
- RM _____ untuk membeli barangan kelengkapan haji.
- RM _____ untuk makan minum dan belanja lainnya. Makan tengah hari dan makan malam disediakan. Tetapi sarapan dan makan pada waktu lainnya perlu tanggung sendiri. Sekiranya menetapkan belanja makan minum 10 riyal sehari, jika perlu berada selama 40 hari, sudah 400 riyal. Itu baru makan. Belum barangan keperluan harian lain yang perlu dibeli di sana seperti baldi, sabun basuh baju, selipar, jika perlu hantar dobi, kad sim dan macam-macam lagi.
- RM _____ untuk tanggungan dan kewajipan kewangan lain yang ditinggalkan sepanjang +40 hari. Bagi mereka yang makan gaji, boleh tinggakan kad ATM kepada orang yang dipercayai. Yang kerja sendiri, kena lah kumpul duit secukupnya.
- RM _____ sebagai bayaran dam haji. ~ RM 500 (2016) itu sudah pasti untuk mereka yang mengerjakan haji tamattu’ atau qiran.
- RM _____ sekiranya perlu bayar upah, sewa kerusi roda berkaitan ibadah haji dan umrah.
- RM _____ untuk kos pengangkutan ke miqat berhampiran untuk ibadah umrah sunat.
- RM _____ duit shopping nak kirim air zamzam, kurma, kacang-kacang, baju, cenderamata lainnya (tak wajib)
- RM _____ untuk sedekah & waqaf (Al-Quran & dan lain-lain)
- RM _____ jika berhajat untuk buat korban dengan anggaran ~RM 500 (2016)
- RM_____ jika berhajat untuk ziarah kawasan-kawasan sejarah
- RM ______ kos topup dan panggilan ke tanah air. Wi-fi percuma terhad di tempat tertentu sahaja seperti di lobi hotel.
Maka secara kasarnya perancangan kewangan untuk pergi haji secara muassasah perlu kepada sekurang-kurangnya RM 15,000 – RM 25,000 seorang.
Mudah-mudahnya, dengan bersedia untuk mampu dari sudut kewangan sebegini. Seandainya pada saat-saat akhir Tabung Haji telefon, memaklumkan ada kekosongan dan tuan puan terpilih, sudah pasti kita dapat terus menjawab, “Ya, saya boleh pergi,”
Begitulah sedikit sebanyak untuk membuat persediaan kewangan untuk menunaikan haji.