Melabur saham pasti merasa rugi

Saya tidak seronok melihat kejatuhan pasaran saham. Ini kerana apabila berlaku kejatuhan yang meluas, maka portfolio pelaburan saham saya juga akan turut terjejas.

Namun saya faham, jika pasaran saham tidak jatuh maka harga saham tidak dapat naik dengan banyak semula.

Dan untuk menjadi berani membuat pembelian ketika harga saham jatuh bukan perkara yang mudah. Ini kerana manusia secara fitrahnya mempunyai herd behavior. Apa yang orang lain buat, maka kita pun akan turut buat. Maka sebab itu apabila sesuatu kedai makan atau makanan menjadi viral, kita pun akan terasa untuk mencubanya sekali. Tanpa disuruh sesiapa.

Kita sebagai manusia tidak suka kepada kerugian. Loss aversion. Melihat kerugian itu adalah satu kali ganda sakitnya berbanding melihat keuntungan. Dalam erti lain, rugi 100 ringgit tidak sama dengan untung 100 ringgit. Rasanya berbeza. Ini lah yang disebut dalam kajian Amos Tversky dan Daniel Kahneman pada tahun 1979.

Unless you can watch your stock holding decline by 50% without becoming panic-stricken, you should not be in the stock market.

Warren Buffett

Ramai orang hanya melihat risiko terhad kepada risiko pasaran iaitu turun naik harga saham (volatility) sahaja. Sedangkan jika kita kembali semula kepada maksud pelaburan, ia adalah aktiviti menangguhkan menangguhkan perbelanjaan hari ini supaya dapat berbelanja lebih pada masa hadapan. Iaitu kita mahu mengekalkan kuasa membeli yang kita ada selepas cukai.

Dan antara cara supaya kita dapat mengekalkan kuasa membeli ini ialah dengan membuat pelaburan saham. Volatility, turun naik harga saham ini adalah sesuatu yang kita perlu terima yang sesungguhnya perkara ini pasti berlaku. Hari ini beli, belum tentu harga terus naik esok lusa. Malah, tak mustahil waktu kita beli itu harganya sedang berada di puncak.

Ini adalah drawdown yang dapat berlaku dalam pasaran saham Malaysia. Pelabur perlu bersedia melihat kejatuhan nilai pelaburan antara 30 – 40% peratus dalam tempoh masa yang disebutkan. Jadi, di sinilah pentingnya mempunyai (1) kekuatan kewangan dan (2) kemampuan menguruskan emosi.

Pada masa yang sama nilai pelaburan saham dalam tempoh 10 tahun itu dapat naik sebanyak 70%, tetapi disebabkan kita mempunyai loss aversion maka ramai pelabur akan berasa panik semasa kejatuhan pasaran itu berlaku.

Jadi sebagai pelabur kita perlu mempunyai strategi pelaburan yang dapat mengawal diri kita untuk terus menjadi rasional. Berikut ialah 5 langkah praktikal yang dapat diambil.

(1) Mulakan dengan modal yang sanggup rugi 100%. Pelabur saham pasti merasa rugi. Tetapi jika tidak bermula, kita tidak ada pengalaman. Mulakan dengan modal rendah supaya dapat melalui sendiri kitaran pasaran (market cycle) dan akhirnya dapat menjadi ‘redha’ dengan volatility. Kita tak boleh elak market risk. Kalau rugi 100% pun tidak jadi miskin dan papa kedana.

(2) Melabur dengan long term view. Sekiranya kita melabur untuk dapat hasilnya lepas 10 tahun maka hati dapat menjadi lebih tenang berbanding beli saham waktu pagi dan mahu dapat untung pada waktu petang.

(3) Spread the risk. Bina portfolio saham yang bersesuaian. Growth stocks memang dapat memberikan untung yang besar tetapi adakah kita patut menumpukan kepada satu jenis saham sahaja? Urus risiko dahulu dan untung pasti datang selepas itu.

(4) Spread the purchase. Surplus atau lebihan duit gaji memainkan peranan penting. Bila kita nak membina kekayaan dalam jangka masa panjang, maka pastikan kita sentiasa membuat tambahan pembelian saham secara berkala. Dan jika ini dalam perancangan kita, maka bila harga saham jatuh kita dapat beli lagi.

(5) Mempunyai investment plan. Review, restructure, rebalancing. Pelabur perlu tahu untuk membuat perkara-perkara ini. Proses pelaburan yang betul membolehkan kita tahu bila untuk cut loss, atau, membuat average down semasa berlaku kejatuhan harga.

Market cycle dalam pasaran saham ini bukanlah satu kecacatan. Turun dan naik harga ini adalah sifat pasaran saham. Maka hadapi situasi ni dengan hati yang tenang melalui perancangan pelaburan secara bersistematik.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: