Pelaburan Saham Untuk Tabung Persaraan

Pelaburan saham sesuai dijadikan sebagai tabung persaraan.

Ini kerana melalui pelaburan saham mempunyai dua (2) jenis keuntungan.

1. Untung Harga Saham Naik

Ini kerana pelaburan saham ada capital gain. Pergerakan harga saham. Beli saham RM1 boleh naik jadi RM1.10 atau turun RM0.90.

Rugi paling teruk ialah saham 1 ringgit tadi jadi 0 sen, rugi 100 peratus.

Tetapi untung dapat jadi lebih dari 100 peratus. Iaitu bila saham 1 ringgit tadi jadi 3 ringgit, 5 ringgit atau 10 ringgit

2. Untung Dividen

Apabila syarikat buat untung 100 juta, mereka beri 30 juta kepada pemegang saham, maka itulah dipanggil dividen.

Maksudnya, kita labur 100 ringgit, dan pada hujung tahun duit kita jadi 103 ringgit.

Masa mula-mula beli saham, dividen ni nampak rendah. Tapi bila kita hold lama, dividen tu eh… banyak! Dividen tak macam capital gain, langsung tak dipengaruhi dengan pergerakan turun naik harga saham.

Jadi, tabung persaraan kita dapat ada jenis potensi untung iaitu:

  1. Capital gain, dan 
  2. Dividen 

Bila kita tak mahu tengok harga saham turun dan naik, maka hilanglah potensi satu jenis keuntungan dalam tabung persaraan kita.

Macam Tanam Durian

Seandainya pelabur paling hebat, Warren Buffett itu duduk di Malaysia, maka dia akan sebut:

Kita dapat makan durian hari ini disebabkan datuk nenek kita dah tanam 20 tahun yang lepas.

Pokok durian mula berbuah selepas 4 tahun. Atau selepas 7 tahun. Dalam empoh 10 tahun pertama ini kalau berbuah pun tak banyak. Antara 10-60 biji sahaja.  Selepas 10 tahun, pokok durian mula menghasilkan buah yang lebih banyak. Antara 50-100 biji untuk semusim. Selepas 20 tahun, itulah hasil yang paling banyak. Antara 100 – 200 biji satu musim.

Begitulah saham untuk persaraan. Tanam hari ini untuk rasa hasilnya selepas 20-40 tahun. Jaga saham-saham tu macam berkebun, berladang. Sekali musim berbuah, sepokok keluarkan 200 biji. Makan seorang tak habis!

Nak makan ‘buah’ tak perlu tebang ‘pokok’ durian tu. Tunggu lah masa musim durian luruh. Itulah kelebihan saham yang menjadikannya sangat sesuai sebagai tabung pelaburan.

Kalau belum sampai masa untuk bersara, maka dividen yang diterima itu kita buat tanam semula. Dah sampai masanya baru dibuat makan.

Saham untuk persaraan adalah satu perjalanan yang panjang. Macam-macam makhluk perosak akan muncul untuk merosakkan kebun pelaburan tersebut. Jadi kena berdisiplin sungguh untuk menjaganya.

Bersara Dengan Selesa

Melaburlah dalam saham secara konsisten. Buat tabung khas untuk membuat pelaburan saham. Gunakan strategi pelaburan jangka masa panjang. Untuk pencarum KWSP, juga dapat melabur saham guna sebahagian duit KWSP.

Ini kerana kita perlu tabung persaraan yang mencukupi. Supaya dapat bersara dengan selesa.

Jadi berapakah anggaran untuk mempunyai tabung persaraan yang selesa?

  • Sekiranya nak bersara dengan 5 ribu sebulan, maka (5 ribu x 12) x 25. Maka paling sikit 1.5 juta ringgit diperlukan.
  • Kalau nak 10 ribu sebulan, maka dalam 3 juta ringgit.

Apakah tuan sudah bersedia untuk bersara?


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: