Pakdi, Pelaburan Apa Yang Lebih Untung Dari ASB Atau Tabung Haji?

Pakdi, ada tak investment yang boleh dapat return lebih dari Tabung Haji?

Popular soalan macam ni.

Jawapan pendeknya – ada. Tetapi bukan sesuatu yang straight forward. Letak duit je confirm untung. Ia tak macam tu. Bukan semua orang layak dan sesuai melabur dengan cara ini.

Jawapannya ialah cara yang berpotensi untuk lebih untung dari ASB / Tabung Haji ialah dengan melabur dalam ekuiti. Secara spesifik jenis medium / small cap. Sama ada dengan:

  • Beli saham sendiri di Bursa Malaysia
  • Buka managed account minta fund manager uruskan modal
  • Melalui unit trust

Apa Itu Medium / Small Cap ?

‘Cap’ itu bukan topi tapi kependekan dari istilah capitalization. Market capitalization. Saiz modal pasaran. Jadi merujuk kepada saham-saham di Bursa Malaysia yang saiznya bernilai atau 200 juta ke 2 bilion ringgit.

Senang cerita medium-small cap syarikat-syarikat ‘kecil’ yang masih ada ruang untuk membesar dan bukannya syarikat ‘besar’ yang selalu orang sebut big-cap atau blue chip tu.

Macam saham atas ni, harganya naik dari sekitar 5 ringgit menjadi 20 ringgit dalam masa tidak sampai 3 tahun! Untung 4 kali ganda. Efek saham kategori medium / small cap.

Jadi pelabur saham Bursa Malaysia yang urus pelaburan saham sendiri boleh fokus beli saham-saham medium to small cap ni.

Bagaimana Dengan Pelabur Unit Trust Dan Managed Account?

Unit trust: Pilih dana jenis ekuiti yang melabur dalam saham-saham medium to small cap.

Managed account: Cari fund manager yang menawarkan strategi pelaburan yang melibatkan saham-saham medium to small cap.

AWAS! UNTUNG TAK DIJAMIN

Potensi untuk dapat untung lebih besar itu ada. Tapi tak ada jaminan untung. Ada tahun yang dapat untung lebih rendah dari TH / ASB dan ada tahun dapat rugi. Malah rugi double digit pun tak mustahil.

Ini contoh satu dana unit trust ekuiti – medium to small cap.

  1. Kiraan ini saya ambil dari Morningstar.
  2. Kita dapat tengok untung setahun macam roller-coaster. Untung boleh cecah double digit. Rugi pun boleh cecah double digit.
  3. Bila peram unit trust ni untuk tempoh 10 tahun, keuntungan terkompaun ialah 8.95% setahun.
  4. Maksudnya, modal 100 ribu yang dilaburkan sejak 10 tahun lepas, maka hari ini modal tu dah berkembang jadi 235,000.
  5. Ini prestasi lepas, prestasi akan datang kita tak tahu.

Higher Risk, Higher Potential Return, Higher Potential Loss

Konsep ini penting difahami.

Nak untung lebih dari Tabung Haji, lebih dari ASB maka kena bersedia ambil lebih risiko.

Kalau nak untung 20 peratus, 30 peratus setahun macam bakul pelaburan medium to small cap, maka kena bersedia untuk rugi 20 peratus, 30 peratus juga. Tak boleh lah nak untung besar, tapi risiko tak mahu ambil langsung.

Jangan minta. Tak usah cari. Elak dari tanya.

  • Pelaburan apa yang dijamin untung?
  • Beli apa yang takkan rugi?

Sebab akhirnya sama ada berjumpa ejen pelaburan yang suka berjanji bulan dan bintang atau akhirnya masuk scam.

Bab ini bab emosi. Takde siapa boleh bantu.

Licensed financial planner macam saya boleh bantu bab teknikal pelaburan. Tapi bab emosi, bab dalam hati, bab hati kental tak kental itu saya tak boleh bantu.

Saya boleh bagi nasihat, semasa harga jatuh untuk tambah lagi pelaburan atau terus peram. Tapi kalau diri sendiri tu jenis tak boleh tengok harga jatuh tergolek, maka hati tak dapat bertenang juga.

Jadi inilah jawapan saya bagi soalan di atas.

p.s. Warren Buffett pernah ditanyakan soalan tentang strategi pelaburan untuk pelabur saham kecil-kecilan dan beliau pun sebut small cap. Tapi kalau tak berani, beliau mencadangkan index investing sahaja.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: