Orang Islam Patut Kaya

Rukun Islam ada 5. Syahadah. Solat. Zakat. Puasa. Haji. Memang tak ada cakap suruh jadi kaya. Tapi kalau tak kaya, siapa pula nak bayar zakat dan pergi haji?

Ajaran siapa entah kata orang Islam patut miskin. Sedangkan sahabat-sahabat besar Nabi Muhammad ramai yang kaya raya. Sayyidina Abu Bakar berkemampuan nak bayar 2.84 kilogram emas untuk bebaskan Bilal. Semasa Perang Tabuk Sayyidina Umar bagi separuh hartanya. Dan semua orang maklum kekayaan Sayyidina Usman.

Turun arahan solat. Nabi Solat.
Turun arahan puasa. Nabi Puasa.
Turun arahan bayar zakat. Takkan Nabi tak bayar zakat?

Kan yang bayar zakat ini kan mereka yang ada lebihan harta. Yang ada harta lebih dan wajib bayar zakat itu secara teknikalnya ialah orang kaya. Sebab makannya bukan sekadar cukup tapi dapat dikongsi dengan orang lain. Jika tidak ada lebihan, tidak wajib zakat.

Hari ini nak pergi haji kena ada 10 ribu ringgit. Itu baru nak kos nak layak pergi buat haji di Malaysia. Belum campur duit belanja di Mekah & Madinah selama 40 hari. Tak campur lagi duit belanja untuk anak dan tanggungan yang ditinggalkan di tanah air. Barang-barang dan kelengkapan haji lagi. Kurang-kurang kena ada lagi 5 ribu.

Sekiranya subsidi haji sudah tiada? Tak mustahil nak pergi haji walaupun dengan muassasah pun dapat mencecah lebih 20 ribu ringgit.

Sekiranya kita miskin, berapa banyak rukun Islam yang dapat kita sempurnakan? Zakat tak dapat bayar. Haji tak mampu nak pergi. Dalam bahasa Inggeris rukun ini disebut pillars. Tiang. Maksudnya Islam dapat tertegak dalam diri kita dengan lebih kukuh bila kita dapat melakukan ibadah-ibadah tadi.

Solat tak perlu duit. Semua kita wajib solat baik yang kaya atau miskin. Tapi nak bina surau dan masjid hari ini perlu banyak duit.

Maka sempurnakanlah rukun Islam dalam diri kita.

Hari-hari kita bersyahadah dalam solat 5 waktu. Puasa wajib di bulan Ramadhan. Setiap tahun bayar zakat fitrah dan zakat harta. Dan mudah-mudahan murah rezeki dapat pergi haji pada usia masih muda, ketika sihat dan bertenaga.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: