5 Nisbah Untuk Menilai Kesihatan Kewangan Sendiri

Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
Begitulah aturan Tuhan

Lukisan Alam, Hijjaz

Antara tujuan perancangan kewangan ialah bersedia menghadapi perkara di luar jangkaan.

Sebagai contoh.

  • Bila dibuang kerja adakah kita dapat meneruskan hidup seperti biasa?
  • Sekiranya sakit adakah kita dan keluarga mampu membayar kos perubatan.
  • Jika pasangan kita meninggal dunia, adakah waris yang ditinggalkan jadi miskin?

Maka perancangan kewangan bukan sekadar dah beli unit trust. Dah mampu beli rumah. Atau dah ada takaful. Malah bukan juga mesti jadi kedekut sampai tak boleh berbelanja.

Nak ada Ford Mustang. Beli.
Nak minum di Starbucks hari-hari. Minumlah.
Nak barang Prada. Shopping.

Selagi mana nisbah kewangan semua tunjuk ok, nak enjoy, silakan.

Teringin nak pergi jalan-jalan dekat Eropah. Duit belum cukup. Maka jadikan impian percutian tersebut sebagai satu matlamat yang perlu dicapai. Rancang tabung percutian. Berapa banyak nak simpan. Mana tempat yang sesuai untuk dilaburkan. Bukannya ambil jalan mudah pergi jumpa bank dan buat hutang peribadi untuk bercuti. Itu cari penyakit.

Yang lagi hebat, ada yang pinjam duit kawan. Kemudian tayang percutian di media sosial. Lepas tu hutang kawan buat-buat lupa. Bila kawan tak bagi, kata kawan tu macam-macam. Dah dapat duit, terus tak ingat kawan. Itu cara mudah nak putus rezeki. Bukan saya kata, tapi Nabi yang beritahu (berselawatlah kita).

Jadi apa nisbah kewangan yang perlu kita tahu untuk diri sendiri? Saya kongsikan lima (5)

(1) Nisbah simpanan. Berapa yang dapat kita simpan dari gaji yang diterima. Cara yang paling efektif ialah simpan terlebih dahulu sejurus dapat gaji. Dan bukannya dapat gaji, belanja dulu dan apa yang lebih baru disimpan.

Simpanan ÷ gaji

(2) Berapa banyak bayar hutang sebulan? Nisbah ini juga kita kira dari gaji yang diterima. Dalam hidup memang ada keperluan untuk berhutang. Khususnya untuk pembelian besar seperti kereta dan rumah. Namun apa yang penting ialah tidak berhutang di luar dari kemampuan.

Bayaran hutang ÷ gaji

(3) Nilai discretionary spending. Ini ialah kategori perbelanjaan yang adakalanya disebut sebagai kos gaya hidup. Ini kerana kita dapat pilih untuk beli ayam mentah dan goreng sendiri. Namun, kita pilih untuk makan KFC. Bezakan dengan perbelanjaan wajib dan tetap seperti utiliti, sewa, takaful dan seterusnya.

(4). Berapa banyak hutang dibandingkan dengan aset? Sama ada hutang jahat atau hutang baik, kedua-duanya adalah hutang yang perlu dibayar semula. Jadi, aset-aset yang dah ada selama ini, dibeli dengan cara berhutang atau bagaimana?

Nilai hutang ÷ nilai aset

(5) Tahap kecairan atau juga disebut sebagai liquidity. Sekurang-kurangnya kita perlu ada simpanan kecemasan. Lazimnya jumlah simpanan kecemasan ini cukup untuk 6 bulan perbelanjaan. Namun setelah berlaku pandemik Covid19, adakah liquidity 6 bulan ini mencukupi?

Aset cair ÷ perbelanjaan sebulan


Baca Nota Pakdi menerusi emel: