Nasihat kewangan

Nasihat, tips kewangan yang kita baca di media sosial selalunya adalah nasihat umum (generic advice). Siapa-siapa pun boleh bagi nasihat kewangan sebegitu. Maksudnya tidak ada peraturan yang kata tak boleh buat perkongsian berbentuk nasihat kewangan umum.

Ada akaun media sosial dah boleh tulis. Pandai buat video, dah boleh muat naik. Siapa yang berkemahiran buat infographic, dia pun conteng-conteng.

Jadi sebab tu ada 1001 nasihat kewangan. Ada yang kata beli rumah macam ni bagus, rumah macam tu tak bagus. Saham ni short term, unit trust long term. Melabur luar negara lagi untung dari melabur dalam negara. Pembiayaan ASB bagus, pembiayaan ASB tak bagus dan seterusnya.

Barangkali datang dari pengalaman. Ada yang bertujuan pemasaran (banyak). Ada yang saja suka-suka. Yang melucukan kalau ada yang dah berpegang kepada satu idea pelaburan tu bagus, pantang sungguh jika ada pandangan kedua yang menyatakan sebaliknya. Siap ajak kawan-kawan untuk hentam secara berjemaah. Kih kih kih.

Zaman mahu viral dan mengejar like ni, si kaki copy paste pun banyak. Sampai kita pun tak tahu tips kewangan tu siapa penulis asalnya. Begitulah.

Nasihat kewangan juga boleh dapat menerusi seminar & latihan. Juga kebiasaannya jatuh dalam kategori nasihat umum. Macam mana speaker nak bercakap dalam satu laras bahasa yang sama jika di depan mereka ada yang bergaji 12 ribu setahun dan ada yang bergaji 120 ribu setahun?

Apa yang bagus dengan seminar & latihan ialah kita dapat jumpa sendiri orang yang menggelar diri mereka sifu, coach, speaker ini. Mana ada orang yang bagi seminar bercakap di sebalik tabir. Bila dah bercakap depan-depan maka kita pun dapat terus bertanya. Angkat tangan dan bertanyalah.

Kaki copy paste takkan berani beri latihan & seminar. Sebab konten yang jadi viral tu bukan idea dia punya pun. Jadi kalau orang nak tanya, macam mana dia nak jawab.

Orang kata beri seminar ni senang, setakat jual air liur. Betul atau tidak, cuba lah bercakap depan orang ramai selama 60 minit dulu. Jangankan 6 minit, 60 saat pun belum tentu mampu menjual air liur. Pitam.

Seminar & latihan sesuai untuk dapat ilmu pengetahuan. Dan tidak ada peraturan khusus siapa yang boleh bercakap dan siapa yang tidak boeh bercakap. Berani atau tidak sahaja.

Ramai dari kita cuba nak tiru sifu. Nak ikut social media influencer yang ramai followers. Join group-group tips saham. Tapi situasi kewangan sifu tak sama dengan situasi kewangan kita. Hutang yang sifu popular tu tak sama dengan hutang yang kita ada. Nak tiru macam mana?

Sifu modal beratus ribu. Beli saham 100 ribu, kemudian naik 1-2 peratus dah untung seribu dua ribu. Kita modal ratus dan ribu sahaja. Beli saham 1 ribu, naik 5 peratus sekalipun baru, untung 50 ringgit. Belum tolak komisyen. Sifu ulang 5,6 kali dah dapat 10 ribu. Kita beli 10 kali semua untung pun tetap tak kaya-kaya.

Tak salah follow sesiapa pun. Cuma expectation kena betul.

Manakala jika nak nasihat yang spesifik, yang ikut keperluan kita (customized advice), maka itu perlu kepada sesi konsultansi. Bukannya cari nasihat kewangan percuma di media sosial, bukan dengan pergi seminar dan latihan.

Nasihat kewangan tailor-made sebegini bermula dengan mengumpul data. Jadi kena bersedia berkongsi data-data kewangan. Antara yang utama ialah gaji, perbelanjaan, senarai harta dan hutang. Jika tidak mahu beri, pergi seminar & latihan sahaja dan kemudian buat sendiri.

Seterusnya analisa pun dibuat. Dari analisa itu baru dapat tahu situasi kewangan sebenar. Dengan situasi kewangan sebenar itu barulah tahu kita ini sesuai melabur di mana. 

Nasihat kewangan macam ini baru ada regulasi. Pastikan jumpa individu yang berlesen sahaja.

Kemudian tuan puan pun dapat financial / investment recommendation.

+ Tak salah beli saham. Tapi barangkali pada waktu ini kita masih belum sesuai untuk melabur.

+ Tak salah melabur ___________ (isi tempat kosong). Tapi kita lebih sesuai melabur dalam ___________ (isi tempat kosong).

+ Keutamaan kewangan tuan / puan ialah (a) ______ (b) _______ (c) __________

Inilah perkara yang patut dicapai dalam sesi konsultansi. Seterusnya adalah sesi follow-up. Supaya kita buat apa yang patut dibuat. Consultation session bukan sesi motivasi. Tapi sesi nak bagi jadi.

Ramai orang bersemangat pegi kelas. Tapi kelas tiada follow-up yang personal. Seminggu dua, semangat tu hilang. Terus tak buat apa. Jadi bila ambil konsultansi, ambil sekali retainer supaya follow-up dapat dibuat. 

Mudah-mudahan kalian faham apa itu generic advice vs customized advice.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: