Meninggalkan Waris Dalam Keadaan Berharta Adalah Lebih Baik

Ketika Haji Wada, Saad bin Abi Waqqas jatuh sakit.

Rasulullah pun pergi berziarah dan Saad pun berkata:

“Ya Rasulullah, saya mempunyai harta dan cuma mempunyai seorang anak perempuan untuk mewarisinya. Apakah saya dapat memberikan 2/3 dari harta ini sebagai sedekah?”

Rasulullah menjawab, “Tidak.”

Saad bertanya lagi, “Kalau begitu 1/2 dari harta?”

Rasulullah menjawab sekali lagi, “Tidak.”

Saad terus bertanya, “Kalau begitu 1/3 dari harta?”

Maka Rasulullah pun menjawab, “Boleh, tetapi 1/3 itu pun masih banyak. Sesungguhnya meninggalkan para waris dalam keadaan kaya dan berharta itu lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta. Sekiranya kamu membelanjakan sesuatu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, kamu tetap mendapat ganjaran walaupun hanya sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isteri kamu,”

Kisah ini dicatatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. 

Saya seorang anak yatim

Almarhum bapa saya meninggal dunia ketika umur saya baru 7 tahun. Emak saya ketika itu tidak bekerja. Anak 7 orang. Semua orang masih belajar.

Dah besar panjang ini, ketika kenangan lalu mengusik jiwa maka baru saya perasan almarhum bapak ada meninggalkan sejumlah harta untuk kami sekeluarga. Kuranglah beban kewangan emak nak besarkan kami.

Taklah kaya raya sampai harta yang ditinggalkan membolehkan kami bercuti ke luar negara. Tetapi tidaklah susah papa kedana sampai emak kena meminta sedekah. Cuma nak tambah apa yang tak cukup itu emak jual roti di kantin sekolah dan juga ambil tempahan kuih tat nenas setiap musim raya. Alhamdulillah semua habis belajar peringkat universiti dengan apa yang almarhum bapak tinggalkan.

Tak nak melabur sebab nanti anak yang ‘merasa’.

Jadi bila ada yang datang jumpa saya ketika sesi temujanji dan menyatakan keresahan hatinya takut-takut tak dapat ‘merasa’ apa yang diusahakan sekarang maka saya jadi pelik.

Satu sebab saya dah mengaji hadis ni. Kedua sebab saya dah lalui sendiri pengalaman jadi anak yatim.

Harta pusaka takkan dapat ganti kasih sayang seorang bapak yang saya dapat sekejap sahaja. Namun, dalam hati ini saya begitu nak cium bapak saya puas-puas sebab saya dapat merasa ‘nafkah’ yang cukup sampai habis belajar sebagai tanda terima kasih. Hanya doa yang dapat saya berikan sampai mati untuk bapak.

Betul.

Ada 100 ribu tapi kena laburkan untuk pakai pada usia 60 tahun. Iyalah, saya kan suka cakap pasal long term investing. Sedangkan ada pilihan untuk belanjakan duit 100 ribu tu buat jalan-jalan makan angin di negara orang. Kemudian ditakdirkan meninggal dunia awal, sebab buat keputusan untuk melabur maka anak-anak yang dapat ‘rasa’ duit beratus ribu tu.

Helo!

Kalau bukan mak bapak yang sediakan nafkah untuk anak, siapa pula yang patut sediakan?

Dalam hadis ni dah jelas sebut. Jika umur panjang, kita dapat menikmati harta tersebut. Namun jika umur pendek, pahala yang kita dapat confirm tak kurang dari pahala bersedekah malah mungkin lebih! Sebab nafkah itu wajib, sedekah itu sunah.

Long term investment bukan zero-sum game. Panjang umur kita kaya. Pendek umur kita dapat pahala.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: