Soalan Penting Sebelum Melabur, Apa Big Why Anda?

Pelaburan adalah aktiviti menangguhkan perbuatan beli 1 ekor kambing sekarang, supaya dapat beli lebih banyak kambing pada masa akan datang.

Jadi, syarat utama seorang pelabur ialah kita mesti mampu menangguhkan kepuasan / kehendak. Jika tidak, perancangan pelaburan pasti terkandas tengah jalan. Patut labur 10 tahun, baru 1 tahun sudah berhenti.

Kenapa melabur?

Supaya ada banyak pilihan dalam hidup. Seperti pilihan nak berhenti kerja lebih awal. Kebun yang kita usahakan dah beri hasil. Makan hasil pun tak habis. Jadi waktu itu nak terus bekerja pun boleh, pilih nak bersara awal pun boleh.

Supaya ada duit semasa usia persaraan. Bukan semua orang mampu bekerja pada usia 90 tahun macam Tun Mahathir. Jadi, apa pilihan yang ada ketika itu? Tabung persaraan yang kita dah sediakan dari usia muda.

Supaya dapat buat mini-retirement. Ramai golongan middle class hari ini mengalami burnout. Dah tak seronok bekerja, tapi tak mampu untuk berhenti kerja sebab masih banyak hutang, anak-anak masih kecil. Jadi, melaburlah supaya kita dapat berjalan-jalan makan angin, rehatkan minda dan fizikal selama 1 tahun sebelum bekerja semula.

Supaya anak dapat sambung belajar tanpa perlu berhutang. Face it. PTPTN menghadapi isu yang besar. Jika para peminjam PTPTN masih berdegil tak mahu bayar hutang mereka, anak-anak kita lah yang bakal menjadi mangsa. Siapa dah sediakan tabung pendidikan anak dari sekarang maka kita dah sediakan masa depan yang lebih baik untuk mereka.

Supaya tak berebut harta pusaka mak ayah. Rumah sekangkang kera pun nak bergaduh. ASB Tabung haji arwah mak ayah yang tak banyak mana itulah yang menyebabkan putus hubungan adik beradik. Jadi, bila kita dah ada harta sendiri, lebih mudah kita nak lepaskan hak dan beri sebahagian dari pusaka yang patut kita punya kepada adik-beradik kita yang lebih memerlukan. Buat apa kumpul dosa jika dapat kumpul pahala?

Supaya dapat kekalkan gaya hidup. Upgrade senang. Downgrade susah. Sedangkan kos perbelanjaan setiap tahun makin bertambah. Dengan membuat pelaburan kita telah menyediakan senjata yang kuat untuk pastikan gaya hidup kekal dapat dikekalkan.

Supaya dapat jadi kaya. Bila makan gaji, kita yang bekerja. Bila melabur, duit yang bekerja. Tiap bulan dapat gaji, kemudian tambah lagi dividen yang kita terima dari pelaburan. Siapa lagi cepat jadi kaya, yang hanya makan gaji atau mereka yang pada masa yang sama melabur untuk masa depan?

Supaya duit bergerak dan ekonomi jadi sihat. Duit lebih jangan disimpan bawah bantal dan dalam bank aje. Laburkan sebahagian dalam aktiviti ekonomi melalui pelaburan. Peer to peer (P2P) financing misalnya membolehkan duit lebih yang kita ada disalurkan kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk aktiviti perniagaan.

Supaya waris tidak jadi miskin dan meminta-minta. Ini Nabi Muhammad saw yang cakap. Waktu itu Saad Bin Abi Waqqas sakit. Saad nak sedekah 2/3 harta yang dia ada. Nabi saw tak bagi. Baginda benarkan paling banyak pun cuma 1/3, itu pun banyak kata Nabi saw. Sebab meninggalkan waris dalam keadaan kaya dan berharta adalah lebih baik. Sedekah kepada orang lain itu bagus, tinggalkan harta untuk waris adalah lebih bagus. Jadi sekiranya mati awal, tak sempat merasa duit pelaburan sekalipun, kita sebagai ibu bapa tetap dah ada saham akhirat. Umur panjang kita merasa, umur tak panjang tetap merasa pahala. Win-win.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: