Panik Tengok Nilai Pelaburan Jatuh? Mungkin Anda Tak Lepas Indikator Kewangan Ini

Benda yang kita perlu hari-hari ialah 3 benda. Makan, pakai dan tempat tinggal. Apa yang kita makan, apa yang kita pakai dan rumah besar mana kita duduk ditentukan oleh satu perkara – pendapatan.

Bukan kerja saya nak tentukan seseorang itu nak hidup dengan gaya hidup yang macam mana. Tapi kerja saya ialah memastikan gaya hidup seseorang itu adalah pada kadar kemampuan mereka.

Nak ada Ford Mustang. Beli.

Nak minum di Starbucks hari-hari. Minumlah.

Nak barang Prada. Shopping.

Selagi mana indikator kewangan semua tunjuk ok, nak enjoy, silakan.

Teringin nak pergi jalan-jalan dekat Eropah. Duit belum cukup. Maka jadikan impian percutian tersebut sebagai satu matlamat yang perlu dicapai. Rancang tabung percutian. Berapa banyak nak simpan. Mana tempat yang sesuai untuk dilaburkan. 

Bukannya pergi jumpa bank dan buat hutang. Duit dah disburse terus beli tiket dan pergi bercuti. Itu cari penyakit.

Yang lagi hebat, ada yang pinjam duit kawan. Kemudian tayang percutian di media sosial. Lepas tu hutang kawan buat-buat lupa. Bila kawan tak bagi, kata kawan tu macam-macam. Dah dapat duit, terus tak ingat kawan. Itu cara mudah nak putus rezeki. Bukan saya kata, tapi Nabi yang beritahu (berselawatlah kita)

Jadi apa indikator kewangan yang perlu kita ambil tahu ni? Saya kongsikan 5 indikator

Satu. Berapa banyak tunai di tangan yang kita ada?

6 x belanja sebulan

Bahasa mudah emergency fund. Basic savings. Tak ada undang-undang tepat kena simpan berapa. Saya selalu cadangkan 6 bulan gaji. Jadi, jika hilang sumber pendapatan, kita masih boleh hidup macam biasa selama 6 bulan lagi.

Dua. Berapa banyak tunai di tangan dibandingkan dengan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi?

Tunai / (hutang kad kredit + pembiayaan peribadi).

Skor lebih 1 adalah terbaik.

Hutang kad kredit dan hutang ni adalah sejenis hutang “jahat” (tapi ada ke hutang yang baik?) Jadi, tidak ada keperluan nak kumpul hutang keduanya.

Tiga. Berapa banyak bayar hutang sebulan dari gaji?

Bayar hutang / jumlah gaji.

35% ke bawah adalah sasarannya.

Memang ada keperluan untuk berhutang. Khususnya untuk beli kereta dan rumah. Dan indikator ini membantu kita untuk tidak terlebih berhutang dari kemampuan sebenar.

Empat. Berapa banyak hutang dibandingkan dengan ekuiti?

Jumlah hutang / nilai aset bersih.

Lagi besar skor yang dapat yang dapat, lagi tinggi risiko keterhutangan.

Lima. Berapa yang kita boleh simpan?

Lebihan atau (defisit) / pendapatan

Lagi tinggi skor yang dapat, lagi bagus.

Sebaiknya simpan dulu barulah berbelanja. Dan tidak mengamalkan cara dapat gaji, belanja dulu dan apa yang lebih baru disimpan.




Buat Carian