Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 – 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah.
Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam.
Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.
Keterangan lanjut adalah seperti berikut:
Hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.
Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.
Para sarjana Islam semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :
“Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.”
Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
Dalam kes mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.
Terdapat juga pandangan yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
Sistem insurans berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.
Islam mengharamkan umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba adalah jelas dilarang oleh Islam.
Mereka yang bekerja dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh Islam.
16 thoughts on “Hukum Menjual & Membeli Insurans Konvensional”
Info yang menarik terima kasih Pak Di diharaf ramai ejen insurans dan unit trust dapat mempromosikan dan menyokong instruments islam.
p/s : tapi kengkadang ada juga customer yang nak jugak yang yang konvensional ni apa pandangan Pak Di and rakan rakan semua..
pada pandangan sy, tidak boleh berkompromi haram tetap haram..klu nak jugak…maka terimalah azab Allah yg amat pedih..
Salam pakdi, nak tanya sikit.. ni terkeluar bidang insurans sikit.. macamne dengan agent hartanah.. adakah ada fatwa yg mengatakan pekerjaan ini haram.. mintak di beri bantuan.. Tq
Kenapa haram ya? Boleh terangkan sumber yang mengatakan demikian?
Saya tidak faham apabila majlis fatwa merumuskan bahawa komisen yang diterima oleh agen insuran konvensional yang dalam proses peralihan ke skim takaful adalah dimaafkan. Atas dasar apa majlis fatwa membuat rumusan demikian ? Apa yang nyata haram adalah haram dan tidak ada perkecualian lagi. Jika riba itu haram maka ianya tetap haram samada dalam proses peralihan atau tidak. Saya bagi satu contoh peminum arak.Dia dalam proses berhenti minum arak tetapi atas sebab kesihatan dia tidak boleh berhenti mendadak ertinya dia kena minum arak juga setiap hari tetapi dalam kuantiti yang berkurangan. Adakah majlis fatwa akan merumuskan bahawa arak yang dia minum itu boleh dimaafkan ? kalau ikut hukum Qias arak itu boleh dimaafkan berdasarkan keputusan majlis fatwa dalam kes agen yang nak beralih dari konvensional ke takaful.
Maaf kerana penyataan tuan agak kasar, seolah-olah mengatakan fatwa yang dikeluarkan ulama tidak betul. Adakah tuan lebih tinggi ilmu fatwa dari ulama? Kita sebagai rakyat kena akur dengan fatwa yang dikeluarkan. Walaupun secara logik, imannya, kita memang berkata haram tetap haram. Namun bayangkan anda ditempat agen insuran yang pendapatannya hanya dari komisyen insuran, lebih-lebih lagi mempunyai komitmen yang tinggi. Impaknya jika dia terus beralih kepada syarikat takaful, segala komisyennya dinafikan serta merta. Jadi siapakah yang akan menanggung komitmen agen tersebut? Atas dasar itulah, fatwa meringankan sementara komisyen insuran sehingga agen itu mampu untuk beralih kepada takaful.
Saya juga agen insuran sebelum ini, namun telahpun berhijrah kepada takaful. Amat mudah bagi saya kerana masih mempunyai kerja hakiki yang lain, komisyen juga tidak banyak ketika di dalam agensi insuran. Namun tidak mudah bagi mereka yang menjadikan kerjaya agen insuran ini pendapatan hakiki mereka.
Berlapang dadalah dengan fatwa yang dikeluarkan. InsyaAllah, ada hikmahnya.
Yg haram tetap haram. Bila dan berkecimpung dalam bidang takaful ni baru nampak gelagat ejen2 konvensional yg tetap mempertahankan yg kononnya insurans konvensional adalah harus dan ulama2 yg memfatwakan insurans konvensional itu adalah haram telah tersilap dan tak faham pasal insurans. Hujah2 yg diberikan memang atas logik dan kefahaman mereka sahaja. Yang dalam proses nak beralih ke takaful tu okla tapi yg masalah org2 yg masih promote produk konvensional padahal alternatif takaful dah ada
Maaf bagi saya kalau dah haram tidak ada dalam “proses”.Perkara yang perlu dibuat ialah “Berhenti Terus” dan mulakan dengan takaful.Lupakan saja komisen yang tak halal tu jika betul-betul nak ikut syara’.
Din, ‘proses’ itu ada sebab business model yang diguna pakai dalam industri ini. Maka ada sedikit kelonggaran untuk kes yang lama dan komisyen masih berjalan. Tapi kalau kes baru perlu terus ke takaful.
arif – apa kena mengena dengan agen hartanah ?
Agen menjual benda yang wujud, bukan gharar.
Untuk insuran, komisen diterima selama 6 tahun. Bila agen dapat tahu hukum haram ini, dia terus beralih arah..(BErhenti terus!)..tetapi baki komisen, let say ada 3 tahun lagi….dia boleh menerimanya (Ini pendapat saya!)
Tuanbri Dot Com
wah.. encik din ni pakar dalam penentuan hukum, malahan lagi pandai menentukan QIAS untuk kes muamalat.
sebagai orang awam, saya mencadangkan kita agar ikut fatwa ijmak ulama, itu lebih baik dari ikut fatwa dari benak.
nice.. jgn ikut fatwa dari benak sendiri… siapa kita nk di bandingkan dengan mufti..
byk kekeliruan dlm insuran .apa yg saya tau byk company, dimana agent boleh menjual produk takaful dan konvensional..takaful sendiri bermodalkan dari konvensional(perkongsian modal).ade produk takaful tidak kebaikan yg ingin dinikmati dari konvensional..contohnya dari segi KO insuran @deposit hospital.
Pakdi bagaimana pula kes saya di mana sebuah syarikat mewajibkan kontraktornya menginsuranskan pekerjanya? Pihak takaful tidak boleh mentakafulkan kerja-kerja kontraktor tersebut atas alasan dana mereka kecil dan kerja tersebut merbahaya tapi insuran konvensional(alliance saya) boleh menawarkan perlindungan kepada kerja-kerja tersebut. Bolehkan sya menawarkan insurans tersebut kpd kontraktor itu melalui alliance saya?. Permohonan medical card adik saya pun ditolak atas sbb migraine & pernah mengalami gliserin tinggi tetapi alliance saya blh provide medical card utk adik saya, jadi bolehkah saya tawarkan medical card tersebut kepada adik saya?
mohon share tuan
As salam. Sebagai orang Islam, kita ada panduan dari Al- Quran dan hadis. Yang haram jelas haramnya, yang halal jelas halalnya. Al-Quran dan sunnah adalah panduan dari Allah. Manakala fatwa adalah dari manusia seperti kita yang banyak kekhilafan. Adakah disebabkan duit dan harta dunia, kita menghalalkan yang haram dan perlu menolak panduan dari Allah?
Comments are closed.