Hukum Main Saham

Mula-mula betulkan istilah; bukan main saham. Tetapi pembelian saham, atau pelaburan saham.

Dalam rukun jual beli, ada 4 rukun yang perlu dipenuhi:

  1. Penjual & pembeli
  2. Subjek Jualan
  3. Harga / medium pertukaran (consideration)
  4. Penawaran & penerimaan (offer & acceptance / ijab & qabul)

Dalam pelaburan saham, subjek jualan ialah saham itu sendiri. Pelabur A menjual saham Hup Seng Berhad melalui sistem pasaran saham. Kemudian, pelabur B pula membeli saham tersebut, juga melalui sistem yang sama. Harga adalah mengikut harga pasaran.

Saham adalah ekuiti atau pemilikan syarikat. Bila kita beli saham bermaksud kita sudah memiliki sebahagian dari syarikat tersebut walaupun nilainya kecil.

Selagi mana status saham tersebut adalah Shariah compliant, maka subjek jualan itu adalah benda yang halal. Seterusnya, hukum melabur / membeli saham adalah dibenarkan.

Penentuan Status Shariah Compliant Saham

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia yang dianggotai oleh mereka yang berkelayakan dalam bidang Shariah.

Jadi mereka yang menentukan sama ada sesuatu saham / sekuriti itu patuh Shariah atau pun tidak.

Kaedahnya adalah seperti berikut:

1. Tanda aras aktiviti perniagaan

Sumbangan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan dan keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat akan dikira dan dibandingkan dengan tanda aras aktiviti perniagaan yang relevan seperti berikut:

(i) Tanda aras lima peratus

Tanda aras lima peratus ini diguna pakai bagi perniagaan/aktiviti berikut:

  • perbankan konvensional;
  • insurans konvensional;
  • perjudian;
  • arak dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
  • babi dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
  • makanan dan minuman tidak halal;
  • hiburan tidak patuh Syariah;
  • tembakau dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
  • pendapatan faedah daripada akaun dan instrumen konvensional (termasuk pendapatan faedah yang diterima berikutan daripadakeputusan mahkamah atau penimbang tara);
  • dividen daripada pelaburan tidak patuh Syariah; dan
  • aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh Syariah.Bagi perniagaan/aktiviti yang disenaraikan di atas, sumbangan daripada perniagaan/aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan atau keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat mestilah kurang daripada lima peratus.

(ii) Tanda aras 20 peratus

Tanda aras 20 peratus ini diguna pakai bagi perniagaan/aktiviti berikut:

  • jual beli saham;
  • pembrokeran saham;
  • sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah; dan
  • aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh Syariah.Bagi perniagaan/aktiviti yang disenaraikan di atas, sumbangan daripada perniagaan/aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan atau keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat mestilah kurang daripada 20 peratus.

2. Tanda aras nisbah kewangan

Bagi tanda aras nisbah kewangan, MPS mengambil kira perkara berikut:

(i) Tunai ke atas jumlah aset
Tunai yang diambil kira ialah tunai yang ditempatkan dalam akaun dan instrumen konvensional, manakala tunai yang ditempatkan dalam akaun dan instrumen Islam tidak diambil kira dalam pengiraan ini.

(ii)  Hutang ke atas jumlah aset
Hutang yang diambil kira ialah hutang yang berteraskan faedah, manakala pembiayaan secara Islam ataupun sukuk tidak diambil kira dalam pengiraan ini.

Setiap nisbah di atas, yang bertujuan untuk menilai riba dan elemen berteraskan riba dalam penyata kedudukan kewangan sesebuah syarikat, mestilah kurang daripada 33 peratus.

Di samping kriteria kuantitatif dua peringkat di atas, MPS juga mengambil kira aspek kualitatif yang melibatkan persepsi masyarakat umum atau imej aktiviti syarikat dari perspektif pengajaran Islam.

Cara Semak Status Saham Patuh Shariah Di Bursa Malaysia

1. Buka trading account patuh Shariah

Paling mudah.

Pasti kita cuma beli yang patuh Shariah sahaja. Bertindaklah segera dengan tukar ke akaun Shariah.

2. Semak melalui trading platform

Cara ini tuan perlu hubungi remisier / dealer sendiri.

Minta dia ajarkan. Ini kerana setiap platform ada cara untuk memaklumkan pelanggan masing-masing status Shariah sesebuah saham. Kaedahnya berbeza mengikut syarikat.

3. Semak di laman web Bursa Malaysia & Bursa Marketplace

Cari nama saham yang kita nak beli, jelas tertulis sama ada saham tu Shariah compliant atau tidak.

Manakala untuk Bursa Marketplace, dapat terus buat penetapan Shariah Mode semasa menggunakan laman web ini. Semua saham yang terpapar itu nanti sudah pun patuh Shariah.

Isu-isu Dalam Pelaburan Saham

1. Spekulasi

“Tapi Pakdi, saya nampak pasaran saham ini macam banyak spekulasi, boleh ke?”

Ini adalah isu yang awal-awal sudah dibincangkan semasa awal pembentukan Islamic Capital Market (ICM).

Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SC), menerusi dua mesyuarat pada 16-17 Oktober dan 26 November 1997 telah mengesahkan aktiviti spekulasi ini adalah dibenarkan. Asas utamanya adalah aktiviti spekulasi adalah berbeza dengan berjudi. Hujah lanjut adalah seperti berikut:

  • Spekulasi adalah tindakan beli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi. Ambil untung dari perbezaan dua harga itu tadi. Tujuannya untuk mendapatkan capital gain. Sedangkan itulah cara buat bisnes dalam mana-mana bidang sekalipun. Bai’ Muzayadah atau jual beli lelong pun berlaku aktiviti yang sama. Bai’ Murabahah juga begitu. Islam tidak melarang kegiatan ambil untung melalui aktiviti jual beli.
  • Nabi Muhammad saw sendiri tidak pernah membuat kawalan harga (price control) termasuk ketika ada orang ramai mengadu harga barang mahal. Justeru, apabila ada pihak yang untung apabila harga naik maka tu adalah dibenarkan. Pada masa yang sama, pihak peniaga perlu mengambil risiko sekiranya membeli pada harga tinggi dan harga kemudiannya jatuh pula. Apa yang utama adalah tidak ada penipuan dan manipulasi.
  • Walaupun aktiviti spekulasi dan perjudian nampak macam sama tapi ia TIDAK serupa. MPS menasihatkan agar pelabur mempunyai pengetahuan secukupnya sebelum melakukan sebarang transaksi jual beli saham dan bukan bertindak seperti seorang kaki judi.

Maksudnya, selagi mana rukun dan syarat jual beli itu dapat dipenuhi, maka sama ada ia bersifat short term, atau long term, maka pembelian saham itu tadi adalah satu jual beli yang halal.

2. Saham Macam Berjudi

Memang ada produk di Bursa Malaysia itu jatuh kategori maysir (judi). Tetapi jual beli saham bukan salah satu daripadanya.

Ini kerana apabila kita membeli saham, kita membeli pemilikan dalam bisnes. Selaku pemilik bisnes, kita dapat hadir mesyuarat agung tahunan untuk mengundi, memilih pengarah syarikat, layak memperoleh dividen, layak memperoleh bonus dan juga terlibat dalam aktiviti korporat tertentu.

Beli saham bukan sekadar teka harga. Walaupun ada yang berbuat sedemikian, tetapi itu itulah perangai macam kaki judi. Sikap individu itu sendiri dan bukannya pasaran saham itu adalah aktivti maysir.

Contohnya, main bola di padang. Tiba-tiba di tepi padang ada dua orang penonton buat betting. Maka, takkan yang main bola di padang tu jatuh hukum haram sedangkan yang betting itu adalah individu itu sahaja.

Jual beli saham itu sendiri tidak jatuh dalam perjudian kerana wujud situasi win-win situasi dan bukannya zero-sum game.

Maka, kita tidak perlu risau apabila membuat pelaburan saham kerana ia adalah aktiviti yang halal. Hari ini sudah sangat mudah untuk kita memilih mana-mana saham patuh Shariah.

3. Boleh ke buat Short Selling?

Short selling merupakan aktiviti jual dulu, beli kemudian.

Contohnya, jual saham TM pada harga RM 7 terlebih dahulu, dan membelinya semula pada harga RM 6.

Ya, jual beli barang yang belum ada. Di Bursa Malaysia, ia disebut regulated short selling (RSS).

Memandangkan saham bukan barang ribawi, tak macam macam matawang, emas dan perak maka kaedah jual beli saham adalah lebih fleksibel kerana ia tidak membabitkan isu riba.

Maka apa yang berlaku adalah isu gharar atau isu keraguan melampau seperti persoalan di bawah.

“Kalau dah beli barang, tiba-tiba tak boleh deliver barang ?”

Perbahasannya panjang.

Kepada tuan yang nak jawapan pendek, sila baca perenggan ini sahaja:

the SAC at its 69th meeting on 18 April 2006 resolved that regulated short selling (RSS) is in line with the Shariah as the inclusion of SBL principles in RSS eliminates the element of gharar. 

(Sumber: Resolutions Of The Securities Commission Shariah Advisory Council 2nd Edition)

Maksudnya keraguan melampau telah dihapuskan. Sebab itu wujud perkataan regulated sebab ada regulasi Bursa Malaysia dalam perkara ini.

Kepada tuan yang nak jawapan panjang, barangkali untuk tujuan kajian dan sebagainya, sila ke website Suruhanjaya Sekuriti dan muat turun Resolusi MajlisPenasihat Shariah SC edisi kedua, m.s. 71

Klik sini -> Resolutions Of The SC Shariah Advisory Council

4. Saham Patuh Shariah Berubah Menjadi Saham Yang Tidak Patuh Shariah

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pula menambah ketetapan berikut iaitu berkenaan dengan status pelaburan saham yang pada mulanya berstatus patuh Shariah dan kemudian berubah menjadi tidak patuh Shariah.

Contohnya:

Pada tahun 2005, kita beli saham syarikat yang patuh Shariah dengan harga RM 1.00, dan pada 26 Mei 2011 harganya sudah jadi RM 2.37 dan pada 27 Mei 2011, Suruhanjaya Sekuriti isytihar status syarikat tersebut sudah jadi tidak patuh Shariah.

Pada 9 Jun 2011, kita baru perasan statusnya halalnya sudah berubah dan harga naik pula menjadi RM 2.50. Maka, kita perlu jual segera dan pendapatan yang halal dan wajib zakat ke atas kita adalah cuma sehingga nilai RM 2.37.

Untung 13 sen itu tidak boleh diambil tetapi perlu dibersihkan (cleansing) sama ada dengan cara (1) atau (2).

5. Panduan Penyucian Pendapatan Dari Pelaburan Tidak Patuh Shariah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009 telah menetapkan 3 perkara dalam situasi ini.

Sekiranya seseorang itu mempunyai hasil yang disebutkan maka hendaklah harta tadi:

  1. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal.

Pergi umrah / haji dengan hasil haram sebab nak tunjuk hasil pendapatan itu halal? Na’uzubillah, sila semak nasihat-nasihat ulama apakah buat kerja ibadah dengan duit haram ini diterima atau tidak.

Selaku orang Islam yang beriman, kita kena segera berhenti dari mengambil hasil haram, bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi dan serahkan duit tersebut kepada badan kebajikan / baitulmal.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: