Fear of missing out (FOMO) adalah musuh pelabur

Kita sebagai manusia memang hidup bermasyarakat.

Dalam hidup sehari-hari ada keluarga dan kawan-kawan yang kita suka. Dalam memilih pemimpin, ada kelompok atau parti politik yang kita undi. Bagi yang suka sukan bola sepak misalnya ada pasukan yang kita sokong. Malah, di kalangan ustaz ustazah pun, ada yang kita seronok dengar ceramah mereka dan ada yang kita menyampah.

Jika, kelompok yang kita suka buat salah, mudah kita lupa dan maafkan. Manakala bila kelompok yang kita tak suka buat salah yang sama, satu dunia kita jaja keburukan itu tadi. Kecenderungan sebegini mudah dimanipulasi.

Ini juga berlaku dalam dunia pelaburan. Bila kita lihat seorang demi seorang mereka yang dalam kelompok kita “buat duit” dalam mana-mana pelaburan maka akhirnya kita pun terjebak sama.

Jika seseorang itu bukan dari “kelompok yang kita suka” maka lazimnya kita akan lebih skeptikal. Ini jelas dapat kita lihat apabila Michael Burry bercakap, penyokong Elon Musk akan mengejek beliau. Dan bila Elon Musk tweet maka beramai-ramai pengikut beliau buat benda yang sama.

2020 menyaksikan ramai pelabur baru masuk ke dalam pasaran saham. Media sosial memudahkan kita melihat kawan-kawan kita berkongsi “mudahnya buat duit” dengan saham.

2021 pula setakat ni cryptocurrency mendominasi sentimen. Meme cryptocurrency, Dogecoin telah mencatat all time high. Tesla membeli 1.5 bilion dolar nilai bitcoin.

Bitcoin dicipta pada 2009. Pada 2010, 1 bitcoin bersamaan 0.06 dolar. Menjadikan 50 bitcoin sebanyak 3 dolar. Nilai 50 bitcoin pada masa itu dapat membeli secawan kopi kayangan di Amerika. Dan pada 2017, nilai 50 bitcoin tadi sudah menjadi 850,000 dolar.

Secara umumnya saham dan cryptocurrency adalah aset pelaburan. Tetapi kenapa baru nak labur sekarang? Saya tidak mengatakan jangan melabur. Cuma adakah kita tahu kenapa kita membeli sesuatu aset pelaburan?

Pasaran saham pada tahun 2020, bukan semua sektor atau industri yang memberikan pulangan yang luar biasa. FBM100, yang mewakili 100 saham terbesar di Bursa Malaysia, yang banyak diwakili oleh banyak perniagaan tradisional memberikan pulangan 3.7% pada 2020. Secara relatifnya, pulangan ini adalah rendah berbanding saham-saham medium to small cap.

Ini juga adalah sebab kenapa ada sebahagian unit trust yang mencatat keuntungan yang luar biasa pada tahun 2020. Lazimnya, pelabur akan ditunjukkan prestasi yang lepas. Kita nak tengok track record. Tapi jika kita baru melabur hari ini, apa yang penting ialah masa hadapan.

  • Ya, banyak cryptocurrency dah naik harga, tapi adakah akan terus naik?
  • Ya, harga emas juga naik, tapi adakah akan terus naik?
  • Ya, saham US untung banyak, tapi masih nak naik lagi?
  • Ya, sektor teknologi Bursa Malaysia pun ikut naik, tapi sampai bila?

Persoalan di sini ialah bukan jangan melabur, tetapi sejauh mana kita faham apa yang berlaku. Seterusnya membuat keputusan untuk melabur di situ.

Sekiranya kita melabur hanya berdasarkan prestasi semasa, itu dinamakan recency bias. Dan kalau rasa tertinggal sebab kawan-kawan ada buat duit maksudnya kita telah dipengaruhi oleh herd mentality. Seterusnya terasa fear of missing out.

Sebagai pelabur, apa yang paling penting ialah mengawal emosi. Kita pasti buat silap sepanjang melabur dan seterusnya menyebabkan kerugian.

Nak mengawal emosi adalah susah. Nak mengaku kita buat salah pun adalah susah. Tapi itulah yang kita perlu cuba buat. Macam Warren Buffett mengaku kesilapan beliau dalam menganalisa Google dan Amazon. Dalam hal ini beliau tidak ikut nasihat rakan baiknya sendiri, Bill Gates. Semua orang ada buat silap, tak kisah siapa kita. Net worth yang kita ada bukan penentu sama ada kita betul atau salah.

Saya tidak mempunyai jawapan bagaimana untuk mengelakkan kita dipengaruhi emosi semasa melabur. Apa yang saya dapat buat ialah spread the risk.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: