Dokumen kewangan

Ada orang dah tahu nak apa. Ada orang yang masih tak tahu. Iyalah, bukan semua orang ada masa nak pergi seminar dan belajar pasal ilmu kewangan. Dan bidang kewangan itu sendiri adalah ilmu yang specialize. Fair enough.

Jika dah tahu nak buat apa, contoh nak buat pelaburan saham. Maka dapat terus jumpa remisier saham. Dah tahu nak melabur unit trust, haa, terus melabur secara online melalui Fundsupermart atau eUnittrust atau jumpa unit trust consultant. Nak melabur futures, terus cari futures broker representative. Dan seterusnya.

Kepada yang dah tahu, jalan terus. Yang tak tahu apa yang dia perlu, begini. Saya pasti semua orang sudah ada maklumat di tangan tentang 4 perkara ini.

  1. Gaji & pendapatan
  2. Perbelanjaan
  3. Harta
  4. Beban

Maka carilah penasihat kewangan yang dapat mewakili klien terlebih dahulu. (Siapa tu? Haa, siapa dah klik dan baca link atas tu mesti tahu siapa yang dimaksudkan). Ini kerana kerja mereka yang utama adalah advisory dan bukannya nak push product.

Dari situ kita kira. Gaji berapa. Belanja berapa. Maka dapatlah tahu berapa aliran tunai setiap bulan. Berapa duit lebih sebulan yang kita ada.

Bercerita pasal bab aliran tunai ni, ada dua benda. Satu, gaji tu cukup atau terlebih? Dua, jika tak cukup, apa sebabnya; kos sara hidup atau kos gaya hidup. 

Kos sara hidup dan kos gaya hidup adalah dua benda yang berbeza. Ubatnya tidak sama. Benda yang sudah pasti jangan dibuat bila gaji tak cukup untuk kos sara hidup ialah melabur. Ya, jangan sesekali melabur dengan bertujuan nak cover kos sara hidup.

Kiraan seterusnya. Tengok senarai harta. Tengok senarai beban i.e. hutang. Harta tolak hutang tinggal berapa sebenarnya kekayaan kita?

Dari sini macam-macam yang penasihat kewangan sebenar dapat analisa seterusnya memberitahu apa yang kita perlu. Product pusher tak tengok pun perkara ni. Malah tak buat pun proses analisa sebegini dengan klien mereka. Tapi penasihat kewangan sebenar dapat menunjukkan situasi kewangan kita dan seterusnya mencadangkan langkah yang perlu dibuat untuk membaikinya.

Betulkan aliran tunai. Perancangan & pengurusan pelaburan. Pengurusan risiko. Perancangan cukai. Perancangan zakat. Perancangan harta pusaka. Bukannya perancangan produk kewangan – Mula-mula kau kena beli takaful yang aku promote ni. Lepas tu kau sign borang unit trust ni. Last sekali kau buat surat hibah (pun dengan aku). Setel perancangan kewangan katanya. Ho ho ho.

Ada orang tidak suka bila diminta untuk kongsi 4 perkara tu tadi dengan orang lain. Jika tak mahu share tidak ada masalah. Individu seperti ini lebih sesuai pergi ke kelas-kelas kewangan. Belajar sendiri ilmu kewangan. Balik kelas, terus buat. Susun dokumen sendiri, analisa sendiri, aplikasikan sendiri. Boleh je buat macam tu.

Kelas ialah tempat untuk dapat ilmu. Advisory atau consultation ialah cara untuk mendapatkan penyelesaian yang lebih personalized. Tailor-made. Customized. Belajar pasal saham apa nak beli boleh dapat dalam kelas. Dan lepas dah beli saham, apa seterusnya? Itu perlu kepada servis advisory.

Jadi, jika tak pasti nak pergi ke mana, maka dapatkanlah nasihat kewangan dengan melalui proses di atas dari individu yang berlesen. Dan bukannya mendapatkan nasihat perancangan nak beli produk kewangan yang kebiasaannya diberi secara percuma.

Jadi apa yang patut dibuat sekarang?

  1. Simpan slip gaji (ini mudah) dan rekod semua pendapatan lain jika ada.
  2. Catat duit keluar.
  3. Cari semua rekod harta. Penyata bank, penyata pelaburan, polisi takaful dan seterusnya.
  4. Cari semua rekod hutang (jangan buang surat bank yang kita terima tu)

Susun dan buat catatan ringkas berdasaran dokumen-dokumen yang ada tu. Jika tak sempat, simpan dokumen-dokumen tu dalam satu fail ikut tahun. Letak dalam almari. Almari besi yang fire proof adalah lebih baik. Bila dah sampai masa nak dapatkan servis penasihat kewangan, kan senang. Kongsikan sahaja dokumen-dokumen itu tadi.

Kalau pun kita tak mahu ada penasihat kewangan sendiri (maklumlah ada fi kena bayar) nanti dah mati (siapa tahu kita mati bila?) maka waris-waris kita dapat uruskan urusan kewangan terakhir kita atas muka bumi ni dengan lebih cepat. Tak perlu tok siak susah-susah umum tepi jenazah kita sebab rekod-rekod tersimpan baik dalam almari. 

Terlupa umum sekalipun hutang termasuklah tunggakan cukai kepada lembaga tetap wajib dibayar.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: