Simpan RM 3.33 sehari dapat hapuskan kemiskinan diri

Apa lagi kena selain amalkan peraturan 10 peratus? Siapkan duit untuk nak pergi haji.

Pergi haji ini ialah kewajipan sebagai seorang Muslim. Sudah tentu syarat wajib itu salah satunya ialah kena ada lebihan harta. Dan tak berguna kita kumpul harta banyak-banyak tetapi tak pernah terfikir untuk menunaikan fardhu haji secepat mungkin.

Queue nak pergi haji itu mungkin panjang. Tapi jadi tetamu Allah ini kerja Dia. Ada yang daftar tahun lepas, dan tahun ini dah dijemput. Begitulah aturannya. Yang penting dari pihak kita ialah usaha simpan duit.

Simpan kata mana..? Sudah tentulah dalam Tabung Haji. Simpan sehingga kita ada antara 10 ribu – 15 ribu dalam tu. Dan biarkan sahaja sampai lah giliran kita sampai.

Menyimpan duit untuk nak pergi haji ini ialah salah satu tanda, usaha kita bersedia nak menjadi tetamu Allah. Mudah-mudahan giliran haji kita jadi cepat sebab kita dah berusaha dari sudut kewangan supaya dapat jadi dhuyuf arrahman.

Semua orang mampu pergi haji. Kita cuma perlu simpan 3.33 sehari. Bila kita susun semula cara kita berbelanja sudah tentu nampak cara nak simpan 3.33 sehari selama 10 tahun.

Contohnya, tiap-tiap hari hisap rokok. Jika kita ada duit membeli rokok, langgan Astro paling mahal, sebenarnya kita sudah lebih dari mampu untuk pergi haji. Maka dari situ sahaja ini simpanan haji yang kita dapat buat:

Kurangkan belanja Astro: RM 50  x 12 bulan = RM 600.
Berhenti merokok: RM 50 x 12 bulan = RM 600.

RM 1,200 x 10 tahun = RM 12,000 dalam Tabung Haji. Cuma RM 3.33 sehari. Ini belum masuk kiraan keuntungan yang diterima tiap-tiap tahun dari Tabung Haji.

Tetapi tuan jangan tunggu ada duit sebanyak tu baru mahu mendaftar haji. Buat dua perkara ini:

  1. Daftar sahaja haji apabila dalam akaun TH sudah ada RM 1,300.
  2. Niat, berusaha dan berdoa supaya Allah jemput pergi haji pada usia muda.

Allah swt memanggil kita menjadi tetamuNya apabila kita sudah bersedia dengan cara tersendiri. Walaupun mungkin ketika daftar haji, nombor giliran lagi 50 tahun.

Sentiasa bersedia untuk pergi haji. Jangan kerap beralasan ‘tak cukup duit’, kerana apabila sudah dipanggil ke Baitullah, pasti menjadi cukup.

“Iringilah haji dengan umrah, sesungguhnya keduanya menghapus kemiskinan dan dosa, seperti mana relau menghilang kekotoran dari besi, emas dan perak. Ganjaran untuk haji mabrur adalah syurga.”

Hadis ini direkodkan oleh Imam Tirmizi & Imam Nasaie.

Sasaran basic savings ialah 6 bulan gaji.

Sasaran tabungan haji pula sekurang-kurangnya ialah 10 ribu ringgit. Dan jumlah ini dapat berubah sejajar dengan kos pergi haji secara muassasah. Namun jika berhasrat nak pergi haji secara pakej pun alhamdulillah.

Dah buat dua tabungan ini, maka melaburlah sesuka hatimu banyak mana pun modal nak guna.

Tentang Pakdi

Merupakan individu berlesen dalam perancangan kewangan. Sering dipanggil menjadi speaker berkaitan pelaburan oleh pihak industri seperti Bursa Malaysia, PNB & SIDC. Membantu individu supaya menjadi informed investor.