“Boleh buatkan aku punya polisi takaful cover Death/TPD 1 juta tak?”
Terkejut mendengar permintaan kawan saya, terus saja saya bertanya, “Kau nak buat apa dengan pampasan sebanyak itu?”
Ia umpama kau sepatutnya pakai Myvi tapi sebab ada banyak lebihan duit, saja beli Civic.
Rakan tadi membalas, “Semalam ada agen syarikat xxx jumpa aku kata bayar RM400 sebulan boleh dapat pampasan 1 juta.”
Bila berjumpa agen takaful, jangan serah diri bulat-bulat kepada mereka, “Adakah kau betul-betul perlukan 1 juta kalau kau mati? Kau berhutang pun tak ada aku tengok.”
Jadi bagaimana caranya untuk kira berapa sebenarnya pampasan yang kita perlukan ?
Ada 2 jenis pendekatan bagi mengira life coverage atau pampasan sekiranya berlaku kematian atau lumpuh.
1. Income Replacement
Pendekatan ini mengambil faktor pendapatan/gaji bulanan. Sebagai contoh, jika gaji kita adalah RM3,000, maka kita perlukan satu dana yang boleh memberi kita RM3,000 setiap bulan.
Ada dua cara kira income replacement.
Pertama, menggunakan kaedah Capital Liquidation (Pencairan Modal) berdasarkan garis panduan LIAM (Life Insurance Association of Malaysia) iaitu 10 tahun gaji.
Jadi cara kiranya:
Gaji Anda x 12 bulan x 10 tahun = Nilai Pampasan
Contoh:
RM3,000 x 12 bulan x 10 tahun = RM360,000
.
Cara kedua adalah Capital Conservation Method (Pengekalan Modal) dengan mengambil kira duit pampasan itu akhirnya kita letakkan di mana.
Sebagai contoh, jika kita letakkan di Tabung Haji/ASB yang boleh berikan dividen tahunan setinggi 7%, maka cara kiranya begini:
(Gaji Anda x 12 bulan) ÷ 7% = Nilai Pampasan
Contoh:
(RM3,000 x 12 bulan) ÷ 7% = RM514,286.
Dengan cara ini duit pampasan yang kita dapat itu tidak akan diusik kerana kita hanya menggunakan duit dividen sahaja untuk menampung perbelanjaan setiap tahun.
2. Needs-based
Pendekatan kedua pula mengambil kira berapakah impak kewangan yang melanda ahli keluarga kita jika kita tiada nanti.
Pendekatan ini memerlukan kita bertanya kepada diri dan pasangan kita:
- Sekiranya anda tiada, berapa lama pasangan memerlukan masa untuk mula bekerja mencari nafkah sendiri? (sekiranya isteri merupakan suri rumah)
- Kira semula berapakah perbelanjaan bulanan yang anda tampung setiap bulan?
- Adakah ada hutang yang perlu dilangsaikan?
- Adakah anda mahu menyediakan juga sedikit duit untuk perbelanjaan sekolah anak?
Pendekatan berdasarkan keperluan ini sesuai bagi mereka yang memang mencatat setiap rekod duit belanja bulanan.
Jadi kita nampak berapa sebenarnya impak kewangan kepada famili kita sekiranya kita tiada. Bila dapat nilai yang diperlukan nanti, gunakan saja cara kira seperti Income Replacement tadi.
*Nota ini disediakan oleh Azree Hanifiah, penulis Panduan Asas Takaful