Budaya melabur

“Puan nak jual Idris Hydraulic?” tanya remisier.

Tersenyap seketika pejabat broker dan semua mata tertumpu kepada almarhumah emak saya.

“Ya, betul,” jawab almarhumah emak.

Suasana kecoh sekejap.

Kenapa nak jual?
Harga boleh naik lagi.
Rugi jual sekarang…

Idris Hydraulic merupakan saham panas ketika itu. Ketika orang lain tengah sibuk nak beli, almarhumah emak saya nak jual. Ho ho ho.

Dulu, nak jual beli saham bukan lah online macam sekarang. Ramai orang mengerumuni lobi pejabat broker untuk tengok harga saham. Mana ada kemudahan online trading platform lagi.

Sekarang, lobi pejabat broker sudah lengang. Sesekali adalah seorang dua uncle atau auntie yang datang. Semua sudah online. Beli dan jual saham di hujung jari sahaja.

Sebenarnya tu bukan saham almarhumah emak pun. Dia cuma uruskan pusaka almarhum bapak sebagai pemegang amanah dan antara harta yang ditinggalkan ialah saham.

Jadi, bila pelabur saham meninggal dunia, selesai urusan bicara pusaka, apa yang berlaku ialah saham-saham yang ada dipindahkan mengikut surat kuasa atau surat perintah. Nak dapat saham tu, kena ada akaun.

Almarhumah emak cuma nak cairkan saham tadi ke bentuk wang tunai. Supaya dapat meneruskan hidup dengan kami 7 beradik yang kesemuanya waktu itu masih belajar. Yang paling tua, di universiti. Yang paling muda baru 7 tahun.

Idris Hydraulic.
KUB.

Itu antara saham yang saya ingat nama-namanya dulu. Macam mana saya tak ingat, saya pernah ikut almarhumah emak uruskan hal ehwal pusaka. Turun naik pejabat pusaka, tanah, insurans termasuklah syarikat broker.

30 tahun pun berlalu.

Semalam saya bermesyuarat dengan pegawai-pegawai di Bursa Malaysia. Antara hal yang dibincangkan ialah tentang kelas-kelas percuma yang telah dibuat. Jika dulu kelas hanya dalam bahasa Inggeris, kini sudah banyak kelas yang dibawakan oleh Bursa Malaysia dalam bahasa Melayu. Kongsi secara patuh Shariah.

Malangnya, kelas hanya tinggal kelas. Sudah ribuan orang hadir. Tetapi hanya sedikit yang bermula. Terlalu sedikit, tidak berbaloi dengan apa yang telah pihak bursa keluarkan untuk menganjurkan kelas-kelas ini.

Kelas percuma. Jika berbayar pun, kosnya sangat rendah. Makan minum diberi. Datang dengar speaker / trainer bercakap tak perlu bayar apa-apa melainkan kos pergi kelas yang ditanggung sendiri. Malah, ada syarikat broker yang dah subsidi RM 10 untuk tujuan buka akaun.  Tapi lepas tu krik krik krik.

Apa lagi yang kita mahu?

Mungkin sebab benda percuma … kan (hint untuk tahun depan ni, nasiblah)

Secara peribadi saya melihat situasi tersebut kerana orang kita masih belum ada budaya melabur. Sama macam tidak ada budaya berbisnes. Kita masih terlalu mengharapkan kerajaan yang tolong orang Melayu dan orang Islam.

Malah, bila kerajaan dah lama sediakan Tabung Haji, ASB dengan modal permulaan serendah 10 ringgit sahaja pun, masih ada yang sudah besar panjang belum buka lagi salah satu dari dua akaun ini. Mungkin sebab tak ada janji untung 10% sebulan kot. Ha ha ha.

Dan nak mula melabur saham pun sebenarnya boleh bermula dengan modal beberapa ratus ringgit sahaja. Sama macam melabur unit trust.

Saya dari kecil secara tak sedar rupanya istilah saham, broker, akaun saham, jual beli saham, laporan saham, dividen, untung saham telah masuk dalam kepala saya. Hanya dengan menemani almarhumah emak. Tak buat apa pun. Budak kecik berhingus lagi, seronok tengok space cop gaban je.

Dan saya nampak manfaatnya. Bapak meninggal dunia, ada tinggalkan saham dan sedikit sebanyak membantu emak dapat teruskan hidup dan membesarkan kami adik-beradik.

Akaun Tabung Haji dan ASB memang dah dibuka dari kecil dan bila di universiti secara dengan sendiri saya mencari cara nak mula melabur sendiri. Dulu-dulu, tak ada kelas macam sekarang. Saya tak tunggu bila dah kerja. Tak tunggu ada duit pun. Modal pun guna lebih baki biasiswa JPA. Kih kih kih.

Saya cuma tiru apa yang almarhum bapak saya buat untuk keluarga saya sekarang.

Action louder than words.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: