Bagaimana Abdul Rahman Al-Auf Berkongsikan Rahsia Perniagaan Yang Berjaya?

Semasa peristiwa Hijrah, Abdul Rahman al-Auf dipersaudarakan dengan Sa’ad bin Rabi’.

Sa’ad bin Rabi’ pun berkata kepada Abdul Rahman al-Auf, “Saya ialah antara yang paling kaya di kalangan orang Ansar. Maka saya akan beri separuh dari harta kekayaan kepada tuan. Dan lihat kedua-dua isteri saya dan tuan pilih yang mana satu tuan suka dan saya akan ceraikan dia. Tuan berkahwinlah selepas tamat tempoh penceraian.”

Itu adalah satu tawaran yang mengagumkan.

Tetapi Abdul Rahman al-Auf menolaknya dan berkata, “Saya tidak memerlukan kesemua itu. Tunjukkan kepada saya di mana pasar yang penuh dengan perniagaan.”

Sa’ad bin Rabi’ pun memberitahu, “Pasar Qainuqa,”

Keesokan harinya Abdul Rahman al-Auf pun pergi ke pasar dan membawanya bersama susu mentega (buttermilik) dan mentega (butter) dan berterusan berniaga di situ. Beliau tekun bekerja sehingga bajunya berwarna kekuningan.

Melihatkan keadaan sedemikian Rasulullah (berselawatlah kita) pun bertanya, “Adakah kamu sudah berkahwin ?” Abdul Rahman al-Auf menjawab, “Ya,”

Rasulullah (berselawatlah kita) bertanya lagi, “Dengan siapa ?”

Abdul Rahman al-Auf menjawab, “Seorang perempuan Ansar,”

Rasulullah (berselawatlah kita) terus bertanya, “Apakah mas kahwinnya?”

Abdul Rahman al-Auf menjawab, “Dengan emas seberat biji kurma,”

Lantas Rasullullah (berselawatlah kita), “Buatlah kenduri perkahwinan walaupun dengan seekor kambing,”
.

Kisah ini diceritakan oleh Abdul Rahman al-Auf sendiri dan direkodkan dalam buku hadis Shahih Bukhari.

Banyak yang dapat dipelajari dari hadis ini, antaranya:

1. The Muslim Dream

Hadis ini menceritakan bagaimana Abdul Rahman al-Auf, yang terkenal sebagai antara Sahabat terkaya, meninggalkan segala-galanya di Mekah, berhijrah sehelai sepinggang ke Madinah dan memulakan semula kehidupan baru di bumi Madinah tanpa perlu mempunyai ‘mentaliti subsidi’. Siapa-siapa yang berusaha keras pasti memperoleh kejayaan.

Apabila membaca buku-buku bisnes moden, selalu kita baca perihal the American Dream. American dream ini ialah etos nasional United States of America. Ahli sejarah bernama James Truslow Adams menyebut, “life should be better and richer and fuller for everyone, with opportunity for each according to ability or achievement regardless of social class or circumstances of birth.”

Cerita-cerita berkaitan American Dreams yang popular antaranya ialah Sylvester Stallone, anak imigran dari Itali yang terkenal dengan filem Rocky. Arnold Schwarzenegger ‘The Terminator’ warga Austria yang berhijrah ke Amerika pada usia 21 tahun dan berjaya menjadi Governer California yang ke-38. Kisah yang paling popular sudah tentu berkenaan Steve Jobs, berketurunan Syria-Jerman yang merevolusikan industri telekomunikasi yang kita tahu hari ini.

2. Sekiranya mahu berniaga, cari dulu pasarnya

Sejurus selepas menolak tawaran Sa’ad, Abdul Rahman Al-Auf mahu tahu di manakah lokasi pasar yang sibuk dengan aktiviti perniagaan. Beliau tidak terus pergi berniaga melainkan membuat aktiviti yang hari ini dinamakan sebagai market research.

Apa yang orang cari di pasar ? Jual barang tersebut. Dan bukannya buat produk dulu dan baru fikir siapa yang nak beli produk tersebut.

Setelah mendapat data yang diperlukan dengan melihat sendiri pasar Qainuqa, keesokan harinya barulah beliau membawa produk untuk dijual iaitu susu mentega dan mentega.

3. Efisyen dalam berniaga

Abdul Rahman al-Auf membawa dua produk ke pasar, iaitu susu mentega dan mentega.

Susu mentega terhasil semasa proses membuat mentega. By product. Bahan mentah yang satu, yang sama tetapi produk yang dihasilkan ada dua. Dalam erti kata lain, susu mentega adalah produk yang mempunyai margin keuntungan (atau hampir) 100%.

Prinsip sebegini banyak diamalkan oleh bisnes-bisnes yang besar hari ini. Anda pergi ke McDonald’s, mereka menawarkan ‘Go large, sir ? Pergi ke Starbucks, mereka menyebut, “Venti sir ?” Pekerja mereka hanya dilatih untuk menyebut perkara semudah, “Anything to add sir ?”

4. Bekerja keras sehingga berjaya

Ramai orang terjebak dengan skim peleburan sebab suka mencari peluang 4D – duduk diam-diam dapat duit.

Namun Sahabat Nabi Muhammad (berselawatlah kita) menunjukkan sebaliknya. Beliau bekerja keras sehingga jubah putihnya menjadi kekuning-kuningan, tanda kerja keras menguruskan produk-produk berkaitan tenusu. Sehingga perkara itu disedari oleh Nabi Muhammad (berselawatlah kamu).

Mengetahui keadaan Abdul Rahman yang bekerja keras lantas Baginda pun bertanyakan apakah beliau sudah berkahwin ? Ini kerana dalam hadis-hadis yang lain kita dapat fahami perkahwinan itu hanya wajar dilaksanakan oleh seseorang yang sudah mampu. Jika belum mampu, maka seseorang itu perlu berpuasa.

Apakah itu tandanya Nabi Muhammad (berselawatlah kita) juga mengajar kita kerja keras itu juga mesti diseimbangkan dengan keperluan berkeluarga?

Apa pun sebagai salah seorang Sahabat yang telah dijamin syurga, beliau telah pun memahami perkara-perkara tersebut dan hadis ini adalah sebagai pengajaran kepada kita semua.

Mudah-mudahan kita semua dapat mencontohi sikap Abdul Rahman al-Auf dalam hal mencari rezeki sebegini.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: