Aset Cair Sebagai Pelampung Sewaktu Krisis

Lazimnya bila mendapatkan investment planning dari seorang perancang kewangan, antara angka yang dapat dikongsikan ialah nilai aset bersih atau lebih dikenali sebagai net worth. Namun, melihat net worth semata-mata adalah tidak cukup.

Pandemik Covid19 menunjukkan kepada kita ramai yang tidak bersedia menghadapi krisis dari sudut kewangan. Ini menyukarkan polisi lockdown kerana bila tidak dapat keluar bekerja, ramai yang tidak mempunyai tunai yang cukup untuk terus hidup.

Situasi ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia bersetuju dengan cadangan mengeluarkan sebahagian duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dimulakan dengan i-Lestari dan kini i-Sinar pula.

Untuk mendapatkan nilai net worth, kita perlu tambah semua harta kemudian tolak dengan semua hutang.

Assets – liabilities = net worth

Tetapi untuk bersedia menghadapi krisis, apa yang diperlukan ialah tunai. Atau lebih tepat aset cair (liquid asset). Definisi aset cair ialah harta yang boleh ditukar ke bentuk tunai dalam tempoh yang singkat, lazimnya dalam tempoh kurang 1 tahun. Justeru, apa-apa yang tidak dapat ditukar dalam tempoh itu ialah aset tidak cair (non liquid asset).

Justeru, satu lagi angka yang perlu kita lihat ialah liquid asset to net worth. Formulanya adalah:

Liquid assets / net worth

Berdasarkan pengalaman, saya berjumpa dengan ramai individu yang mempunyai net worth yang besar tetapi liquid asset mereka adalah rendah. Justeru, apabila krisis berlaku dan kehilangan sumber pendapatan aktif maka ramai yang berasa ‘sesak’ dengan keadaan ekonomi yang ada.

Middle class di Malaysia kebiasaannya mempunyai sejumlah simpanan dalam KWSP yang besar dan juga mempunyai beberapa unit rumah pelaburan. Malangnya, kedua jenis harta ini adalah dalam kategori aset tidak cair.

Inilah yang menyebabkan wujud campur tangan kerajaan dengan membenarkan pengeluaran KWSP dibuat sebelum masanya. Keputusan ini mempunyai trade-off tersendiri kerana KWSP ditubuhkan bukan sebagai tabung kecemasan individu tetapi tabung persaraan pada hari tua. Isu persaraan juga adalah satu isu yang besar di negara kita.

Saya kongsikan satu situasi

Seorang profesional 40-an mempunyai aset berikut:

Tunai: 70,000
Saham & saham amanah: 30,000
KWSP: 700,000
Hartanah: 1,200,000
Hutang: 300,000

Net worth: 1,700,000
Liquid assets to net worth: 5.9%

Situasi ini agak tipikal. Individu seperti ini bukan golongan B40 tetapi disebabkan gaya hidup, mereka tidak mampu untuk diberhentikan kerja. Misalnya, dengan perbelanjaan isi rumah 15,000 sebulan, individu ini hanya dapat meneruskan hidup macam biasa antara 6-7 bulan sahaja.

Sewaktu krisis, peluang kerja adalah tidak seperti zaman ekonomi bagus. Malah untuk menjual rumah pelaburan pun tidak semudah yang disangka pada waktu sebegini.

Untuk makan kita perlukan tunai.
Untuk duit sekolah anak kita perlukan tunai.
Kereta rosak, kita perlukan tunai.
Nak balik kampung, kita perlukan tunai.
Bercuti untuk release stress, kena ada tunai.

Justeru, apa yang penting ialah mempunyai keseimbangan antara jenis-jenis harta yang ada. Aset cair yang mencukupi adalah antara kaedah pengurusan risiko dari sudut aliran tunai kita.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: