Apakah Benar Emas Dapat Melawan Inflasi?

Pada satu hari, Nabi Muhammad (berselawatlah kita) memberikan 1 dinar kepada ‘Urwah al-Bariqi.

Baginda meminta ‘Urwah membeli seekor haiwan korban atau pun seekor kambing biri-biri. Lalu ‘Urwah pun pergi dan melaksanakan tugasan tersebut.

Apabila selesai melaksanakan tugasan, ‘Urwah pun membawa balik 1 dinar dan 1 ekor kambing. Melihatkan perkara tersebut, Baginda pun bertanyakan bagaimana perkara itu boleh berlaku ?

Lantas ‘Urwah pun menerangkan. Mula-mula beli 2 ekor kambing biri-biri dengan harga 1/2 dinar seekor. Kemudian menjual salah seekornya pada harga 1 dinar seterusnya membawa seekor lagi kepada Rasulullah (berselawatlah kita)

Rasulullah (berselawatlah kita) mendoakan keberkatan dalam jual beli tersebut dan berkata: ‘Urwah ini jika berjual beli pasir sekali pun, pasti memperoleh keuntungan,”

Cerita ini direkodkan oleh Imam Bukhari, Imam Ibnu Majah dan Imam Ahmad.
.

Dalam bidang usul fiqh, cerita ini merupakan sumber hukum dalam membincangkan hukum berkaitan perwakilan. Agency. Wakalah. Selain itu, cerita ini juga ada perkara lain yang dapat dipelajari:

1. Harga Kambing Tidak Tetap 1 Dinar

Urwah membeli kambing dengan 1/2 dinar seekor dan menjualnya semula pada harga 1 dinar seekor.

Pada zaman Rasulullah pun harga kambing tidak tetap 1 dinar, maka bagaimana ada pihak yang mendakwa harga kambing adalah tetap 1 dinar untuk tempoh 1400 tahun kemudian ?

Maka, tidak wajar menyatakan untuk mana-mana pihak menyatakan harga kambing kekal dulu, kini dan selamanya 1 dinar.

Sekiranya emas i.e. dinar adalah harta kalis inflasi yang diturunkan dari langit yang dapat diukur dengan harga seekor kambing, sudah pasti Nabi Muhammad (berselawatlah kita)  melarang perbuatan Urwah tersebut seperti mana baginda terus melarang Bilal membuat transaksi riba.

2. Perniagaan Ialah Harta Berkembang

Bermodalkan 1 dinar.

Peniaga dapat mengembangkan modal tersebut menjadi 1 ekor kambing dan 1 dinar. Macam apa yang ‘Urwah buat.

Namun tidak semua orang berbakat berniaga seperti ‘Urwah. Nabi Muhammad (berselawatlah kita) sendiri memuji kehebatan ‘Urwah berniaga. Namun, jika kita tergolong dalam golongan yang TIDAK berbakat, maka kita dapat menjadi rakan kongsi dengan orang semacam ‘Urwah melalui joint-venture. Atau juga membuat pembelian saham syarikat yang diuruskan oleh orang seperti ‘Urwah.

3. Nabi Tidak Larang Sahabat Buat Untung 100%

Berapakah % untung yang dibuat oleh ‘Urwah ?

Malah, Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) mendoakan keberkatan jual beli ‘Urwah tersebut.

Ada harta berkembang (kambing) bernilai 1 dinar. Aset tunai (dinar), bernilai 1 dinar. Semuanya dari modal 1 dinar yang diberi Baginda.

Dalam bahasa pelaburan, tangible book value yang dihasilkan ‘Urwah adalah 2 dinar, dari initial capital 1 dinar. Namun, masih ada segelintir masyarakat Islam berpegang dalam Islam ada had keuntungan. Sedangkan tidak ada larangan sebegitu.
.

Mudah-mudahan nota ini dapat membantu tuan mengelakkan membeli emas berdasarkan kenyataan-kenyataan palsu tertentu.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: