6 Sebab Kenapa Kena Cari Terus Peguam Bila Ada Isu Harta Pusaka (Bukan Cari Jawapan di Media Sosial)

Sebab-sebab kenapa lebih baik merujuk isu harta pusaka terus kepada peguam dan bukan di platform media sosial.

1. Berbanding netizen yang tidak tahu apa latar belakang dan kepentingan, sudah tentu peguam bertauliah lebih arif persoalan undang-undang harta pusaka dan pentadbiran harta pusaka serta tahu agensi-agensi berkaitan. 

2. Jaringan (‘networking’) peguam yang luas dalam berurusan agensi-agensi berkaitan sedikit-sebanyak akan memberi kelebihan untuk kelancaran prosedur. 

3. Peguam tiada agenda terhadap harta pusaka dan tidak berpihak. Maklumat yang diceritakan oleh klien diuruskan secara profesional, bukan dengan emosi. Jika klien ada hak, maka peguam akan melaksanakan sewajarnya. Jika tidak berhak, peguam tidak akan meneruskannya. 

4. Peguam mempunyai tangggungjawab fidusiari (‘fiduciary duty’). Maklumat klien adalah rahsia. Peguam terikat dengan etika profesional dibawah Akta Profesion Undang-undang 1976. Peguam bertanggungjawabmelindungi maklumat klien kepada pihak yang tidak berkaitan untuk tujuan mengejar publisiti.

5. Melantik peguam memudahkan waris yang berdepan kekangan-kekangan seperti lokasi agensi-agensi yang jauh dari tempat tinggal atau sukar untuk dapat cuti. Kadang-kadang belum tentu lagi urusan itu selesai sehari atau sekali pergi. Mungkin terpaksa pergi beberapa kali sebab ketinggalan maklumat atau dokumen tidak teratur. Bagi perempuan (balu) pula, hati masih berduka, ada yang keletihan menguruskan anak-anak kecil jadi sukar untuk berfikir dengan jelas, keliru dan berada dalam keadaan mudah dipengaruhi. 

6. Sebarang urusan dan transaksi peguam dan anak guam (sepatutnya) mempunyai rekod. Jika tidak berpuas hati dengan servis dan merasa ditipu boleh buat aduan ke Majlis Peguam Malaysia. Elakkan berurusan dengan peguam melalui pihak ketiga. Lebih selamat jika bersemuka dengan peguam itu sendiri di firmanya, untuk pastikan kesahihan. Kalau ragu-ragu lagi, minta kepada peguam supaya dikemukakan Sijil Amalan Guaman tahun terkini. Selain itu, nama-nama peguam yang beramal secara sah di sisi undang-undang boleh dirujuk di bahagian Direktori di laman web Malaysian Bar. 

* Artikel ditulis oleh Naziatul Azrin, seorang peguam yang beramal di Ipoh, Perak. (Beliau yang bertudung berwarna teal) Mempunyai pengalaman 13 tahun mengendalikan kes pentadbiran harta pusaka di dalam negara dan di luar negara termasuk Singapura, Thailand, Brunei dan United Kingdom dan kes-kes di Unit Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi di Malaya. Beliau tidak mempunyai platform media sosial rasmi tetapi boleh dihubungi di naziatulazrin@gmail.com


Baca Nota Pakdi menerusi emel: