“Dirikan solat dan bayar zakat.”
Ini adalah kewajipan yang banyak digandingkan ayatnya di dalam al-Quran. Solat dan kemudian cari harta untuk bayar zakat.
Zakat dalam Islam bukan zakat fitrah sahaja. Itu zakat yang dibayar menjelang bulan Syawal. Dalam Islam ada juga zakat harta. Kalau nak baca tentang zakat fitrah, dapat rujuk nota di bawah:
Ini adalah perkara-perkara yang kita perlu buat untuk menguruskan zakat harta.
(1) Senaraikan semua harta
Kena ada catatan yang up to date. Kena kemaskini buku bank, penyata saham, penyata unit trust, senarai rumah sewa dan seterusnya.
(2) Kenal pasti harta yang kena zakat
Dari situ, tengok apakah harta yang dikenakan zakat. Bukan semua “harta” dikenakan zakat. Jadi kita kena maklum apakah jenis harta yang ada taksiran zakat ke atasnya.
Mengikut Lembaga Zakat Selangor, zakat harta terdiri dari:
- Zakat Pendapatan
- Zakat Perniagaan
- Zakat Wang Simpanan
- Zakat Emas & Perak
- Zakat Saham
- Zakat KWSP
- Zakat Pertanian
- Zakat Penternakan
- Zakat Ma’adin, Kunuz & Rikaz (galian, simpanan jahiliah dan harta karun)
(3) Nisab semasa dan penetapan haul
Nak bayar zakat ada kiraan dia, berdasarkan nisab. Ada sebahagiannya mempunyai tempoh waktu. Dah cukup waktu baru bayar, iaitu haul.
Maka setiap jenis harta yang disebutkan di atas ada kaedah taksirannya tersendiri. Contohnya, kena faham beli emas 70 gram belum wajib bayar zakat. Sekiranya baru ada RM 5 ribu duit simpanan belum wajib bayar. Kalau sekadar beli kambing 5,6 ekor suka-suka pun belum wajib bayar zakat.
Jadi kena ambil tahu ilmu zakat harta juga.
(4) Bayar zakat
Dah tahu harta mana kena zakat. Dah buat taksiran, maka terus buat pembayaran ke pusat zakat.
Jika tidak tahu macam mana, maka tuan kena bawa catatan harta yang lengkap dan terkini ke mana-mana pusat zakat / majlis agama negeri masing-masing. Pusat zakat ada pegawai yang dapat bantu kira jumlah zakat yang perlu dibayar.
Dah bayar resit hendaklah disimpan untuk tujuan filing cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula nanti.
.
Kebanyakan zakat harta berdasarkan kiraan 2.5% mengikut tahun Hijrah. Maka nilai yang kena dizakatkan itu tidaklah setinggi cukai pendapatan.