4 Benda Dalam Takaful Yang Ramai Terlepas Pandang

Takaful adalah alat yang penting dalam pengurusan kewangan.

Alat ini hendaklah digunakan pada tempat yang betul. Salah satu fungsi utama takaful adalah untuk bayar hutang sekiranya berlaku apa-apa yang terjadi kepada kita.

Jadi kali ini saya nak kongsikan 4 perkara yang nampak kecil tetapi mempunyai impak yang besar dalam pengurusan hutang seseorang.

#1 Tempoh Perlindungan

Secara alami, orang tua lebih banyak sakit dari orang muda.

Dengan khidmat kesihatan yang semakin baik dari tahun ke tahun, maka rakyat Malaysia dijangka dapat hidup antara usia 72.5 tahun (lelaki) sehingga 77.4 tahun (perempuan)

Jadi, apabila mengambil takaful faktor ini wajib diambil kira. Semak balik adakah tempoh perlindungan yang diambil hanya sampai umur persaraan i.e. 60 tahun?

Ini kerana jika ambil perlindungan takaful untuk tujuan kesihatan sampai usia 60 tahun sahaja, ini bermakna selepas usia tersebut kita tidak lagi mempunyai apa-apa perlindungan, sedangkan itulah saat yang lebih berisiko untuk sakit.
.

Begitu juga dengan perlindungan takaful beli rumah – Mortage Reducing Term Takaful (MRTT).

MRTT patut kita ambil sama panjang dengan tempoh pembiayaan dan ambil bukan sekadar asalkan ada.

Sebagai contoh. Rumah berharga RM300 ribu, tempoh pembiayaan 35 tahun, kadar 4.5% setahun. Sekiranya MRTT yang kita ambil selaku pemilik rumah cuma 25 tahun, dan bukannya sama dengan tempoh pembiayaan 35 tahun. Dalam situasi seperti ini, selepas habis 25 tahun akan ada 10 tahun tempoh yang tidak dlindungi dengan baki hutang ada lagi sebanyak RM136 ribu.

#2 Tak Tahu Kenapa Ambil Coverage Banyak Tu

Seterusnya kita juga perlu tahu kenapa kita ambil perlindungan sebanyak RMxxx,xxx.

Misalnya kita mengambil polisi perlindungan sebanyak RM1 juta. Apa tujuannya dan kenapa RM1 juta?

Persoalan yang sama juga perlu dijawab, kenapa ambil perlindungan cuma RM50 ribu. Apa tujuannya dan kenapa RM50 ribu?

Jumlah perlindungan hendaklah diambil sesuai dengan keperluan diri sendiri, setelah membuat analisa kewangan yang bersesuaian.

#3 Tak Jelas Fungsi Hibah vs Penamaan

Saya perasan ada satu trend sejak akhir-akhir ini ada yang mempromosi takaful sebagai “hadiah” kepada waris sekiranya kita meninggal dunia. Maka sila hibahkan polisi RM500 ribu ini kepada waris!

Hibah dalam konteks takaful bermaksud pemegang polisi mahu menghadiahkan manfaat yang diterima selepas kematian kepada individu tertentu. Nak buat hibah takaful itu tak salah, cuma sila fahamkan betul-betul beza hibah dan penamaan.

Dalam Islam, keutamaan dalam merancang kewangan ialah kita perlu memastikan selepas kematian nanti hutang kita dibayar dulu. Hutang itu dibayar menggunakan harta sendiri. Bila manfaat takaful sudah dihibahkan, maka dia dah jadi milik orang yang menerima hibah tu. Suka hati penerima manfaat itu lah nak bayarkan hutang kita atau tidak.

Jadi kalau buat hibah dulu sebelum sediakan duit untuk bayar hutang, maka itu sudah tidak mengikut keutamaan yang Islam gariskan sebab bagi hibah/hadiah itu hukumnya sunat tetapi bayar hutang itu hukumnya wajib.

Kita kena utamakan yang wajib sebelum sunat.

#4 Siapa Nak Laksanakan Amanah?

Apabila kita dah tahu keperluan takaful sebagai alat urus hutang, maka satu persoalan penting perlu dijawab.

Siapakah yang sepatutnya diamanahkan untuk gunakan takaful untuk uruskan hutang-hutang kita? Dalam erti kata lain siapakah penama dalam polisi takaful tersebut.

Penama bukan penerima harta. Penama adalah pemegang amanah sahaja. Jika dia juga adalah waris yang berhak, maka baru dia ada bahagian dalam harta tersebut itu pun bukan 100%.

Jadi apabila kita faham fungsi penama, sudah tentu perkara yang kena kita elak adalah menamakan anak bawah umur 18 tahun sebagai penama. Lepas anak itu mencapai 18 tahun, boleh namakan dia. Kemudian didik dia tentang tanggungjawab seorang penama.

Saya ada menulis nota khas tentang hal ehwal penama ini secara umum. Kalau nak baca boleh klik link di bawah ya.

5 Isu Tentang Penama Harta Yang Sering Ditanyakan Dalam Seminar Saya


Belajar urus wang dan melabur - Ebook + video Berani Labur @ Lebur.

Suzardi Maulan, IFP

Pakdi.net merupakan blog peribadi saya tentang topik kewangan dalam Bahasa Melayu. Saya membantu individu melabur dan menguruskan pelaburan mereka. Selanjutnya baca di sini