3 Perkara Yang Waris Perlu Disegerakan Selepas Kematian Seseorang

Kita semua pasti mati.

Cuma siapa mati dahulu sahaja. Jadi, apabila berlaku kematian, cepat-cepat buat perkara berikut:

  1. Pengurusan jenazah.
  2. Selesaikan hutang si mati.
  3. Urus harta pusaka.

Pengurusan jenazah ini lazimnya diuruskan oleh pihak surau / masjid. Sekiranya si mati merupakan peserta khairat, insyaAllah mudah. Walaupun ada orang surau / masjid yang sentiasa bersedia, anak-anak / waris terdekat merupakan orang utama yang patut menguruskan jenazah ibu bapa mereka. Jangan tahu kira harta yang ditinggalkan sahaja.

Bayar hutang sebelum agih harta

Hutang ini ada dua. Satu, hutang dengan Allah. Dua, hutang sesama manusia. Hutang-hutang ini dibayar dengan harta si mati

Hutang dengan Allah ini ialah seperti zakat yang masih belum dibayar, puasa yang masih belum diganti, nazar yang belum ditunaikan dan juga ibadah haji yang belum dilaksanakan.

Sesungguhnya Nabi Muhammad saw berpesan, “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”

Si mati meninggalkan wasiat atau tidak?

Ramai orang Islam silap faham mengenai wasiat.

Perkara utama dalam wasiat seorang Muslim adalah tentang perlantikan wasi (executor). Wasi ini merupakan pentadbir / pemegang amanah untuk harta si mati. Bila si mati meninggal dunia dengan wasiat, maka rujuklah wasiat itu tadi. Dalam wasiat tadi sudah pasti ada maklumat tentang wasi.

Sekiranya tidak ada wasiat, maka bermula perjalanan yang panjang. Ini kerana dengan wasiat, dalam tempoh paling cepat 6 bulan, insyaAllah dapat selesai. Jika tidak ada wasiat, semuanya bergantung kepada waris yang ditinggalkan. Tahu nak buat dan ada masa nak buat atau tidak?

Kenal pasti waris yang berhak

Siapa waris yang berhak ke atas harta si mati? Ini memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang faraid.

Justeru, jika tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang ini, rujuklah mereka yang mahir dalam hal ehwal pusaka orang Islam seperti peguam Syariah, atau corporate trustee seperti Amanah Raya Berhad (tak wajib, guna ARB adalah salah satu pilihan yang ada) dan syarikat-syarikat amanah lainnya.

Sekiranya sudah tahu, maka bersedialah untuk turun naik Amanah Raya Berhad, atau pejabat pusaka kecil atau mahkamah tinggi. Banyak masa yang perlu dihabiskan untuk menguruskan harta pusaka ini

Harta suami bukan 100% milik isteri

Dan sebaliknya.

Bila suami meninggal dunia, hak seorang isteri misalnya berdasarkan faraid, ialah 1/8 atau 1/4 sahaja dari harta suami selepas selesai bayar hutang dan wasiat sedekah. Baki itu orang lain yang punya.

Selalunya wanita ambil alih urusan duit keluarga selepas kematian suami. Waktu tengah sedih. Waktu tak bersedia. Waktu hati sudah jadi kaca berderai.

Maka kena jadi proaktif dari sekarang. Mula urus harta yang memang atas nama puan sendiri. Supaya ada pengalaman. Supaya tahu hak seorang isteri. Supaya tak dibiarkan digantung tidak bertali.

Kata ustaz saya, kewajipan suami beri isteri makan ikan kembung. Tapi jika isteri mengidam nak ikan siakap, kena sama-sama bantu suami.

Ambil tahu pasal urus harta ini bukan untuk jadi pakar pun. Tapi memang itulah yang sepatutnya kerana bila ikut faraid; isteri cuma dapat 1/8 atau 1/4 dari harta suami yang ditinggalkan.

Justeru, supaya gaya hidup puan tak berubah banyak selepas keluarga dah hilang satu sumber pendapatan, mulalah ambil tahu pasal urus harta sendir. Bila nak bermula? Bila alami situasi macam ni:

1. Dah ada duit simpanan yang lebih dari cukup untuk menampung perbelanjaan untuk tempoh 6 bulan.

2. Dapat kenaikan gaji dan juga bonus tahunan di luar jangkaan.

3. Apabila mendapat agihan harta pusaka.

4. Sekiranya puan baru sahaja menjual rumah.

5. Apabila nilai pelaburan yang ada telah naik berganda-ganda. Tak tahu nak ‘peram’ atau patut ‘jual’.

6. Ada hasrat nak berhenti kerja lebih awal dari usia persaraan. Kebiasannya untuk jadi suri rumah. Nak urus anak-anak yang sedang membesar.

7. Benci untuk saya taip. Maaf saya pinta awal-awal. Jika rumah tangga puan mempunyai krisis dan kelihatan perceraian itulah jalan terbaik. Harta-harta selama ini atas nama siapa?

8. Ada tunai tetapi tak tahu nak buat bayar hutang atau dilaburkan?

9. Mempunyai sasaran kewangan tertentu. Macam nak pastikan anak-anak perempuan mempunyai harta secukupnya dan pada yang sama tak langgar hukum faraid? 

10. Nilai pelaburan yang sedia ada sedang merudum dengan banyaknya.


Saya menulis nota kewangan pada setiap hari Jumaat dan diemelkan terus ke inbox subscriber. Percuma. Sekiranya berminat sila isi emel anda: