Adakah Kita Wajib Bayar Zakat Simpanan Tabung Haji?

Berikut adalah jawapan yang pernah ditulis di laman web Tabung Haji (tapi sekarang sudah dipadam):

Soalan:

Adakah pendeposit TH wajib membayar zakat simpanan atas wang simpanannya di TH ?

Jawapan:

Wang simpanan pendeposit-pendeposit TH disatukan dalam Kumpulan Simpanan Pendeposit-pendeposit dan dijadikan sebagai modal perniagaan. Modal perniagaan ini dilabur oleh TH dalam bidang-bidang perniagaan seperti pelaburan harta tanah, bangunan, perladangan, perusahaan dan bidang-bidang lain yang halal mengikut lunas-lunas Islam. Kumpulan Wang simpanan Pendeposit ini hanya digunakan oleh TH untuk tujuan perniagaan.

TH membayar zakat perniagaan bagi pihak pendeposit dan dengan demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat simpanan ke atas wang simpanannya di TH.

Ini merupakan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-17 yang bersidang pada 3 Mei 1979 telah membincangkan Pembayaran Zakat Oleh Tabung Haji. Persidangan tersebut memutuskan:

1. Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan-penyimpan dari wang simpanannya, dari hasil pelaburan dan dari harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya.

2. Setelah dikeluarkan zakat oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi pihak penyimpan-penyimpan itu, maka barulah keuntungan bersih itu dibahagi di antara penyimpan dengan Lembaga Urusan dan Tabung Haji menurut peratus yang ditentukan.

3. Lembaga Urusan dan Tabung Haji sendiri tidak diwajibkan mengeluarkan zakat dari harta yang didapatinya dari (ii) di atas.

4. Zakat tersebut hendaklah dibayar kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri, mengikut kadar simpanan penyimpan-penyimpan di negeri masing-masing.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: